AL-QURAN bak sinaran cahaya matahari yang menerangi hidup umat Islam.
Datuk Dr Zahazan Mohamed

Saya ingin menghafal ayat al-Quran dan cuba untuk melakukannya secara berterusan. Masalahnya, pada waktu siang saya sibuk bekerja dan tidak sempat hendak membuka al-Quran. Ada tak cara sesuai yang memudahkan saya untuk menghafal ayat al-Quran?

Naimah, Kuala Terengganu

MANFAATKAN waktu malam kerana itu adalah waktu paling sesuai untuk beribadat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Imam an-Nawawi dalam kitab Al-Tibyan Fi Hamalatil Quran berkata, penghafal al-Quran hendaklah memberikan perhatian lebih terhadap bacaan al-Quran pada waktu malam dan solat malam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Antara ahli Kitab itu terdapat golongan yang tetap (berpegang teguh dengan agama Allah) membaca ayat-ayat Allah sepanjang malam dan bersujud (mendirikan solat). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, menyeru kepada kebaikan. Mereka tergolong dalam kalangan orang-orang soleh.”

Dalam sebuah hadis al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik pemuda ialah Abdullah, jika dia mendirikan solat malam.”

Dalam hadis lain dalam kitab Sahih al-Bukhari, Baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai Abdullah, janganlah jadi seperti si polan. Dia pernah berqiamullail, kemudian meninggalkannya.”

Imam al-Tabarani dan lain-lain meriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kemuliaan orang mukmin pada qiamullail.”

Banyak lagi firman Allah dalam al-Quran dan hadis Nabi yang menerangkan kelebihan ibadat waktu malam.

Abu al-Ahwash al-Jusyami berkata: “Sesungguhnya ada seorang lelaki mendatangi khemah atau rumah pada waktu malam, lalu mendengar bunyi yang tidak difahami daripada penghuninya seperti bunyi dengungan lebah.

Katanya: “Kenapa mereka ini berasa aman daripada perkara yang ditakuti oleh suatu golongan (yang berqiamullail)?”

Dalam suatu riwayat daripada Ibrahim al-Nakha’I, katanya, pernah dikatakan oleh seorang, “Bacalah alQuran pada waktu malam walaupun sekadar tempoh memerah susu kambing.”

Diriwayatkan daripada Yazid al-Raqasyi, katanya, “Jika aku tidur, kemudian terjaga dan kemudian ingin tidur semula, mataku tidak akan dapat tidur.”

Aku berkata, “Solat malam dan membaca al-Quran dipilih (sebagai ibadat pada waktu malam) ketika kedua-duanya lebih sempurna untuk melembutkan hati, lebih kuat untuk menghindarkan segala kesibukan, kelalaian dan menguruskan pelbagai keperluan, lebih memelihara daripada sifat riyak dan sifat-sifat yang merosakkan, di samping galakan syarak padanya agar seseorang membuat kebaikan pada waktu malam. Sesungguhnya perjalanan Israk Rasulullah SAW berlaku pada waktu malam.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tuhan kamu turun pada setiap malam ke langit dunia ketika berlalu sebahagian malam. Kemudian Dia berfirman: “Adakah sesiapa yang berdoa, lalu Aku perkenankan? Adakah sesiapa yang memohon ampun, lalu Aku mengampuninya?”

Dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam satu malam terdapat masa seseorang Muslim tidak mendapatinya lalu berdoa kepada Allah dengan memohon kebaikan di dunia dan akhirat melainkan Allah memberikan hal itu kepadanya. Perkara itu berlaku setiap malam.”

Ketahuilah kelebihan qiamullail dan membaca al-Quran tetap diperoleh sama ada dengan kadar sedikit atau banyak. Semakin banyak dilakukan, maka itulah yang afdal.

Melainkan apabila melakukan setiap malam, maka makruh untuk melakukan secara berterusan kerana jika berbuat demikian, ia akan memudaratkan diri.

Antara dalil menerangkan qiamullail terhasil walaupun pada kadar yang sedikit ialah hadis riwayat Abu Dawud.

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash r.huma, katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang bangun pada waktu malam membaca 10 ayat al-Quran, dia tidak ditulis dalam kalangan orang yang lalai.

Sesiapa yang bangun pada waktu malam membaca 100 ayat al-Quran, dia akan ditulis dalam kalangan mereka yang taat. Sesiapa yang bangun pada waktu malam membaca 1,000 ayat, dia ditulis dalam kalangan mereka yang memperoleh banyak kebaikan.”

At-Tsa’labi menceritakan daripada Ibnu Abbas r.huma, beliau berkata: “Sesiapa yang mendirikan solat malam sebanyak dua rakaat, maka jadilah dia orang yang sujud dan rukuk kepada Allah pada malam tersebut.”

Begitulah kehebatan waktu malam. Suasana tenang itu sepatutnya umat Islam ambil peluang untuk meminta ampun, melakukan solat malam, berzikir, membaca al-Quran, berdoa serta bermunajat kepada Allah SWT.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:38 AM