GAMBAR hiasan. FOTO Surianie Mohd Hanif
Hilmi Isa

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang banyak harta adalah orang-orang yang sedikit (kebaikannya) pada hari kiamat kecuali orang yang diberi harta oleh Allah lalu dia memberi kepada orang yang di sebelah kanannya, kirinya, depannya dan belakangnya. Dia melakukan kebaikan pada hartanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Satu statistik dikeluarkan sebuah badan agama menyatakan, 80 peratus golongan terbabit dalam gejala lesbian, gay dan biseksual transgender (LGBT) berpunca daripada kegiatan pelacuran.

Kegiatan pelacuran adalah satu perbuatan dan aktiviti yang menjijikkan. Berita tersiar di akhbar beberapa bulan lalu melaporkan, pelajar sekolah sanggup menjual diri mereka kepada pekerja asing demi mencari wang saku.

Pekerja asing bukannya mempunyai kemampuan kewangan seperti pekerja eksekutif. Maksudnya, bayaran yang pelajar itu terima tidak banyak mana, sekadar lepas untuk keperluan.

Selain itu, di negara ini kita pernah dengar pelbagai cerita mengenai sesetengah majikan bukan Islam tidak membenarkan pekerja mereka solat.

Ada juga yang tidak membenarkan pekerja memakai tudung di tempat kerja. Terdapat juga bidang pekerjaan yang memerlukan pekerja Muslim melakukan perkara haram seperti menghidangkan arak.

Perhatikan pekerja dari negara Muslim miskin yang terpaksa bekerja di luar negara terutamanya di negara bukan Islam. Berapa ramai daripada mereka tidak solat kerana tidak dibenarkan majikan?

Berapa ramai daripada mereka terpaksa masak dan makan makanan haram kerana tiada pilihan?

Saya pernah berbual dengan rakyat Malaysia yang bekerja di negara jiran sebagai pencuci pinggan. Dia bercerita perkara yang ramai tidak tahu.

Negara itu bukan negara Islam. Kebanyakan hidangannya tidak halal. Pencuci pinggan yang kebanyakannya rakyat Malaysia terpaksa bergelumang dengan daging babi setiap hari.

Ada sesetengah mereka dijangkiti penyakit kulit. Sehubungan itu, buat usahawan Muslim, niatkan di hati untuk berniaga demi membangunkan ekonomi ummah.

Usah fikirkan keuntungan semata-mata. Satu masa nanti, kita akan kepenatan kerana mengejar harta dunia yang tiada kesudahannya.

Sudah berjaya mencapai pendapatan ribuan ringgit, namun masih ada yang tidak puas kerana ingin meraih pendapatan lebih tinggi lagi.

Keuntungan yang diperoleh perlu dikongsi bersama pekerja terutamanya mereka yang bergaji kecil. Bagi yang bergaji besar, berapa sangat RM200 hingga RM300 pada mereka.

Bagaimanapun, bagi seorang yang bergaji RM1,000, nilai RM200 atau RM300 itu amat besar. Katakan, kita memperoleh keuntungan RM200,000, apa sangat nilai RM200 itu diberikan kepada pekerja sebagai bonus.

Sudah tentu mereka akan tersenyum lebar. Dengan bonus itu dapatlah mereka membawa ahli keluarga merasa makan sedap di luar.

Justeru, dengan adanya syarikat Muslim, amalan agama dalam kalangan pekerja Muslim lebih terjaga. Sentiasa ingatkan kepada pekerja mengenai kewajipan ibadat mereka.

Daripada seorang yang tidak solat, sedikit demi sedikit mula solat.

Mula-mula hanya segan kepada rakan, lama-kelamaan perasaan itu hadir kerana keikhlasan diri sendiri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu arahkan kedua-dua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan daripada mereka sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami cuba mereka dengannya. Dan kurniaan Rabb kamu adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah at-Toha, ayat 131)

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:32 AM