GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Amin Jalil
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Populasi masyarakat Cina Muslim di Malaysia menurun daripada 57,221 orang pada 2000 kepada 42,048 orang pada 2012.

Menurut Dr Raudlotul Firdaus dan rakan-rakannya, salah satu kemungkinan berlakunya penurunan Cina Muslim kerana mereka didaftarkan dengan nama berbin atau bintikan Abdullah.

Ditambah pula apabila mereka berkahwin dengan orang Melayu Islam, maka anak-anak generasi kedua tidak lagi mengekalkan keturunan asal walaupun suami seorang Cina Muslim.

Maka, sudah tentu zuriat mereka adalah Cina Muslim yang bukan mualaf. Cina Muslim di Malaysia dibahagikan kepada empat kategori iaitu:

1. Cina Muslim berasal dari China.

2. Cina Muslim yang lahir Islam di Malaysia daripada keluarga Cina Muslim berasal dari China.

3. Cina tempatan yang memeluk Islam.

4. Cina Muslim generasi kedua sama ada ibu atau ayah atau kedua-duanya memeluk Islam.

Bagi kategori 1 dan 2 mempunyai perbezaan dari sudut budaya dan tradisi manakala kategori 3 dan 4 adalah kerana mereka mempunyai latar belakang keluarga dan pengamalan berbeza.

Cina Muslim berasal dari China dan generasi seterusnya menerima Islam sejak 10 generasi lalu. Islam bertapak di China sejak abad ke-7 lagi hasil penyebaran Islam daripada pendakwah dan pedagang Arab yang datang ke China.

Hasil perkahwinan antara orang Islam Arab dengan wanita China melahirkan generasi Cina Muslim yang baru dikenali sebagai Hui.

Kategori 3 juga dikenali sebagai mualaf atau saudara baru. Mereka banyak mempengaruhi pandangan Islam sebagai agama sejagat.

Mereka datang daripada keluarga bukan Islam dan pernah hidup sebagai bukan Islam seperti Cina tempatan lain.

Hasil perkahwinan kategori 3 itu akan menghasilkan anak generasi baru yang tergolong dalam kategori 4.

Cina Muslim dari China datang ke Tanah Melayu seawal abad ke-15 bersama pelayaran Laksamana Cheng Ho yang beberapa kali singgah di Melaka.

Di Kuala Terengganu, terdapat sekumpulan komuniti Hui Hui atau dikenali sebagai Orang Yunnan. Mereka adalah Cina Muslim berasal dari Guangzhou, China sejak akhir 1800-an atau awal 1900-an dan berkomunikasi dengan ahli keluarga yang menggunakan bahasa Kantonis.

Menurut kajian yang dilaporkan oleh Tan Chee Beng (1991), mereka tidak merayakan Tahun Baru Cina dan berasimilasi dengan masyarakat Melayu Muslim tempatan.

Pak Haji Yusof atau namanya dalam bahasa Cina Zhang Zhaoyun dilahirkan di Kuala Terengganu pada 1908. Beliau boleh bertutur dan membaca dalam bahasa Cina.

Satu lagi keluarga Cina Muslim yang datang dari utara China iaitu Shandong, Hebei dan Tianjin tiba ke Sabah pada 1913 yang dibawa oleh North Borneo Chartered Company.

Mereka terdiri daripada 108 keluarga dengan lima daripadanya adalah Cina Muslim. Sehingga kini, mereka sudah memasuki generasi kelima berada di Sabah iaitu di Shantung, Penampang dan Kimanis.

Walaupun generasi baru berkahwin dengan pribumi tempatan, tetapi mereka masih mengekalkan budaya, makanan dan bertutur bahasa Mandarin.

Generasi Cina Muslim terbaru daripada kategori 4 sama ada hasil perkahwinan campur atau tidak akan mempamerkan ciri-ciri masyarakat Malaysia majmuk dan dinamik.

Mereka mempunyai pergaulan lebih luas dengan wujudnya integrasi dan interaksi dengan dua atau lebih kaum.

Hasil interaksi dan pemahaman dalam kepelbagaian bahasa dan budaya, mereka menjadi generasi Malaysia yang unik. Cina Muslim memiliki jati diri sebagai seorang Islam tanpa mengabaikan budaya dan tradisinya.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 2:12 PM