GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Dr Nurkhamimi Zainuddin

Kedatangan tahun baharu sering dikaitkan dengan azam baharu. Setiap kali peralihan tahun itu diharap sentiasa memberi kesan baik terhadap diri.

Usaha perlu dijana bersungguh-sungguh supaya apa yang diazamkan menjadi realiti, bukan sekadar cita-cita kosong. Ia perlu seimbang dalam usaha mencari kecemerlangan dunia dan akhirat.

Islam menuntut umatnya bermuhasabah kerana sifat manusia itu banyak kelemahan dan kekurangan.

Jika sifat kekurangan itu dibiarkan, ia menyukarkan manusia melihat kelemahan diri sendiri dan cenderung pula melihat kelemahan serta aib orang lain.

Bahkan, ia menyebabkan sesetengah orang merasakan dirinya saja betul manakala orang lain salah.

Dalam konteks pembangunan nilai positif, ia membawa individu itu meningkatkan bekalan akhirat. Manakala pembersihan unsur negatif pula membawa perasaan insaf serta membersihkan diri daripada dosa dan maksiat.

Allah berfirman menerusi surah al-Hasyr ayat 18 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

Ayat itu menjelaskan, Islam menggalakkan umatnya bermuhasabah mengenai bekalan mereka menuju akhirat.

Usia kita di dunia ini sangat singkat dan apa yang berbaki ini hendaklah digunakan dengan beramal dan berbakti.

Almarhum Buya Hamka dalam satu lembaran hikmahnya, bertajuk Terlena menukilkan:

Waktu berlalu pantas menipu kita yang terlena.

Belum sempat berzikir di waktu pagi, hari sudah menjelang siang, belum sempat bersedekah pagi, matahari sudah meninggi.

Niat pukul 9 pagi hendak solat Dhuha, tiba-tiba azan Zuhur sudah terdengar. Teringin setiap pagi membaca satu juzuk al-Quran, menambah hafalan satu hari satu ayat, itu pun tidak dilakukan.

Rancangan untuk tidak akan melewatkan malam kecuali dengan tahajud dan witir, walaupun hanya tiga rakaat, semua tinggal angan-angan. Beginikah berterusannya nasib hidup menghabiskan umur? Berseronok dengan usia? Lalu tiba-tiba menjelma usia di angka 30, sebentar kemudian 40, tidak lama terasa menjadi 50 dan orang mula memanggil kita dengan panggilan tok wan, atok ataupun nenek menandakan kita sudah tua.

Lalu sambil menunggu sakaratul maut tiba, diperlihatkan catatan amal yang kita pernah buat. Astaghfirullah, ternyata tidak seberapa sedekah dan infak cuma sekadarnya, mengajarkan ilmu tidak pernah ada, eratkan silaturahim tidak pernah dibuat.

Justeru, apakah roh ini tidak akan melolong, meraung, menjerit menahan kesakitan di saat berpisah daripada tubuh ketika sakaratul maut? Hati berkata: Tambahkan usiaku ya Allah, aku memerlukan waktu untuk beramal sebelum Kau akhiri ajalku. Belum cukupkah kita mensia-siakan waktu selama 30, 40, 50 atau 60 tahun?

Perlu berapa tahun lagikah untuk mengulang pagi, siang, petang dan malam, perlu berapa minggu, bulan dan tahun lagi agar kita bersedia untuk mati?

Kita tidak pernah merasa kehilangan waktu dan kesempatan untuk menghasilkan pahala, maka 1000 tahun pun tidak pernah cukup bagi orang yang terlena.

Justeru, kita mulakan 2019 ini dengan jiwa yang bersih dan penuh semangat supaya diberi kemudahan dan kesempatan menambah amalan.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 2:43 PM