GAMBAR hiasan. FOTO Asyraf Hamzah
Qira’ah Fatwa

Apakah hukum menambah lafaz ‘wabarakatuh’ ketika memberi salam dalam solat?

MEMBERI salam pertama di dalam solat termasuk di dalam rukun solat dan jika seseorang itu tidak memberi salam pertama di dalam solatnya, maka solatnya tidak sah.

Sebagaimana dijelaskan di dalam satu hadis daripada Ali bin Thalib, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kunci solat (tanpanya solat tidak sah) adalah bersuci (berwuduk), pengharamannya (haram daripada melakukan perbuatan-perbuatan lain) adalah ketika bertakbir (takbirat al-Ihram) dan penghalalannya (halal untuk melakukan perbuatan-perbuatan lain) adalah setelah memberi salam.” (Riwayat Abu Daud)

Berhubung penambahan lafaz pada salam, memang terdapat riwayat menyatakan sedemikian iaitu daripada Wa’il bin Hujur berkata yang bermaksud: “Aku solat di belakang Nabi SAW dan Baginda SAW memberi salam di sebelah kanan dengan ‘assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh’ dan sebelah kiri dengan ‘assalamualaikum warahmatullah’ (Riwayat Abu Daud - 997) - Sanad hadis ini dinilai sahih pada sanadnya dan perawi-perawinya adalah thiqah oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh.

Sehubungan itu, hukum menambah perkataan ‘wabarakatuh’ di dalam salam pertama menjadi perselisihan dalam kalangan ulama kerana kewujudan dalil yang berbeza.

Imam al-Nawawi menyatakan, disunatkan mengucapkan ‘assalamualaikum warahmatullah’ dan ini adalah yang sahih lagi tepat. (Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 478/3)

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan bahawa, sunah diucapkan ‘assalamualaikum warahmatullah’ dan itu adalah riwayat Ibn Mas’ud, Jabir bin Samurah dan selain daripada mereka berdua.

Adapun Wa’il bin Hujur juga ada meriwayatkan bahawa Nabi SAW mengucapkan pada salam yang di sebelah kanan (salam pertama) dengan lafaz ‘assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh’ dan ia adalah baik di dalam Sunan Abu Daud.

Bagaimanapun, ucapan yang pertama (assalamualaikum warahmatullah) adalah lebih baik kerana jalurnya (riwayatnya) banyak dan jalurnya lebih sahih berbanding jalur atau riwayat daripada Wa’il bin Hujur. (Lihat: al-Mughni, 397/1)

Kami cenderung kepada pandangan yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa mengucapkan ‘assalamualaikum warahmatullah’ adalah lebih baik kerana riwayatnya banyak berbanding riwayat yang terdapat penambahan pada lafaz salam berkenaan.

Tetapi jika seseorang mengucapkan ‘assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh’ pada salam pertama, maka tidak boleh kita menyatakan hal itu bid’ah kerana riwayat berkenaan (riwayat yang ada penambahan) juga adalah sahih daripada Nabi SAW.

Ia juga khilaf maqbul (diterima) sebagaimana dinyatakan ulama dan tidak termasuk di dalam khilaf yang dicela.

Kesimpulannya, penambahan lafaz ‘wabarakatuh’ dalam salam adalah penambahan yang warid (terdapat) di dalam hadis Nabi SAW.

Tidak menjadi kesalahan mengucapkannya pada salam pertama dan solat juga sah.

Walau bagaimanapun, kami menasihati supaya tidak melakukannya di tempat yang boleh menimbulkan fitnah seperti ketika menjadi imam di masjid kerana tidak semua orang mengetahui perkara seperti itu.

Selain itu, dibimbangi ada yang mendakwa solat tidak sah dengan penambahan itu.

Sumber: Al-Kafi li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 11:15 AM