FOTO Hiasan.
Hilmi Isa

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri,” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Manusia adalah hamba Allah SWT yang sering lalai dan lupa. Kita lalai dengan nikmat yang Allah SWT kurniakan.

Apabila nikmat itu hilang, barulah kita berasa menyesal. Barulah terdetik di hati, “Alangkah bagusnya kalau aku sihat. Boleh aku beribadat. Macam-macam aku boleh lakukan.”

Kita sibuk mengejar nikmat kekayaan, tetapi lupa Allah selama ini mengurniakan nikmat yang sangat besar kepada kita iaitu kesihatan.

Salah satu kenikmatan dunia adalah makanan yang lazat. Namun, apa gunanya memiliki wang jutaan ringgit jika tidak boleh makan makanan kegemaran kerana menghidapi penyakit.

Apa gunanya harta kekayaan di sisi orang yang sedang sakit dan di ambang maut? Orang yang menghidap penyakit kronik dan di ambang kematian hanya dilanda kesedihan kerana segala kenikmatan itu pasti akan ditinggalkan.

Salah satu perkara yang dititikberatkan oleh Islam dalam penjagaan kesihatan adalah makanan halal lagi bagus.

Bukan sekadar halal tetapi berzat, gizi seimbang dan sebagainya. Contohnya, mengambil makanan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Dalam satu persidangan kesihatan, satu kajian yang dibentangkan menyatakan, salah satu penyebab manusia menghidap penyakit kronik pada zaman ini adalah budaya makan lewat malam.

Sebelum tidur, masih mengambil makanan berat seperti nasi. Makanan itu tidak sempat hadam kerana secara purata tempoh minimum makanan hadam adalah dua jam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada satu tempat yang dipenuhkan oleh anak

Adam yang lebih memudaratkan dirinya selain daripada perutnya. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya (bagi menahan kelaparan dan untuk berdiri beribadat). Jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah bahagikan perut kepada tiga bahagian, satu untuk makanan, satu untuk minuman dan satu lagi kosongkan untuk bernafas.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Selain itu, salah satu cara Islam menjaga kesihatan umatnya adalah menjauhi budaya seks bebas.

Pada zaman moden ini, budaya Barat semakin menular dalam kalangan umat Islam. Dahulu, orang bujang saja biasa terbabit dengan amalan seks bebas, tetapi kini daripada kanak-kanak, remaja dan golongan sudah berkahwin juga mengamalkan seks bebas.

Di mana hati nurani apabila sanggup menonton pasangan melakukan seks dengan orang lain? Wujud juga amalan pasangan sudah berkahwin bertukar dengan pasangan berkahwin lain.

Amalan bersenam atau riadah dapat memelihara kesihatan diri. Pelbagai aktiviti riadah yang disarankan Rasulullah SAW seperti berenang, memanah, berkuda dan sebagainya. Aktiviti riadah juga dapat melegakan tekanan perasaan.

Selain itu, antara kepentingan aktiviti riadah ialah dapat memupuk kasih sayang antara ahli keluarga. Aisyah meriwayatkan bahawa suatu ketika beliau bermusafir bersama-sama Nabi SAW, Aisyah berkata: “Aku berlumba lari dengan Baginda dan aku dapat mengalahkannya. Setelah aku agak berisi, aku berlumba lari sekali lagi dan Baginda dapat mengalahkanku.” Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kemenangan kali ini membalas kekalahan yang lepas.” (Riwayat Abu Daud)

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 1:30 AM