FOTO Hiasan.
Suriany Awaludin

SAYA suri rumah sepenuh masa, sudah lebih tujuh tahun berkahwin dan mempunyai dua anak.

Akhir-akhir ini, saya rasa tidak sedap hati dan syak suami ada hubungan dengan wanita lain. Apa yang patut saya lakukan jika berasa begitu? Sekarang, saya tidak dapat membuktikan suami berlaku curang, malah saya tidak sanggup mengorek rahsianya seperti mencuri-curi baca kandungan mesej dalam telefonnya.

Cuma saya harapkan jika dia benar-benar ada hubungan dengan wanita lain atau pernah curang, saya mahu dia sedar dan minta maaf kepada saya.

Ternyata perkara itu sukar dan sekiranya semua sangkaan saya itu tidak benar, sudah pasti suami marah. Lebih buruk, saya bimbang suami betul-betul benci dan tidak lagi percaya kepada saya kerana bersangka bukan-bukan terhadapnya.

Sebelum ini, saya tidak kisah jika dia pulang lewat ke rumah kerana dia akan maklum sekiranya ada urusan kerja atau berjumpa rakan-rakannya selepas waktu kerja. Saya juga tidak pernah mempersoal atau ambil tahu dengan siapa dia keluar.

Dian, Setapak

PERJALANAN hidup sebuah keluarga bahagia didasari prinsip saling menjaga dan mengambil berat antara satu sama lain serta sentiasa memberi sokongan ketika menghadapi konflik.

Dalam menjalani kehidupan, pasangan suami isteri perlu sentiasa sensitif dengan perubahan serta berupaya menyesuaikan dirinya.

Isteri lazimnya dikaitkan dengan deria rasa istimewa jika dia merasakan sebarang perubahan berlaku. Apatah lagi sebagai suri rumah sepenuh masa, ruang lingkup kehidupan isteri hanya kepada suami, anak-anak dan rumah tangga.

Namun, perlu dibezakan apabila deria atau sensitifnya isteri terhadap perubahan berpunca daripada hasutan iblis dan syaitan yang nyata bersifat jahat dan suka melihat keburukan.

Awas kepada prasangka kerana kebanyakannya membawa kepada dosa. Pemikiran dan prasangka sedemikian boleh menjejaskan kebahagiaan rumah tangga yang diimpikan.

Kebahagiaan hidup sebuah keluarga banyak bergantung kepada persefahaman suami dan isteri. Kegagalan berbuat demikian akan melahirkan ketegangan dan konflik.

Oleh itu, tidak mustahil jika dikatakan krisis adalah satu perkara lumrah di dalam sebuah rumah tangga. Keadaan itu hanya boleh dapat diatasi dengan kebijaksanaan suami serta sokongan daripada isteri.

Konflik atau krisis rumah tangga yang berlaku akan menyebabkan suami isteri sentiasa berada dalam suasana tidak harmoni.

Ia boleh berlaku apabila suami isteri saling benci membenci atau salah satu pihak menaruh prasangka. Krisis yang berlaku menyebabkan suami isteri mudah bertengkar, saling tuduh menuduh dan memaki hamun.

Keadaan rumah tangga sedemikian, ia selalunya memberi kesan terhadap pertumbuhan jiwa anak-anak. Jika puan merasakan sesuatu tidak kena pada diri suami dan bimbang suami berlaku curang, terdapat beberapa langkah yang dirasakan sesuai bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Pertama, puan perlu mendekati dan mendampingi suami lebih daripada biasa. Bukan untuk mengintip atau memerangkapnya, tetapi lebih kepada cuba mendapatkan penjelasan perubahan yang puan rasakan itu.

Ketepikan kesangsian dan buruk sangka, malah tambahkan rasa kasih sayang kepada suami dengan hati yang ikhlas. Sebagai isteri yang sentiasa berada di sisi suami selama lebih tujuh tahun, sudah pasti puan amat mengenali suami.

Kedua, cuba ambil tahu jika puan mendapati suami benar-benar berbeza tingkah lakunya. Luahkan apa yang puan rasa dalam suasana bahagia, bukan dalam keadaan tegang. Diri puan amat perlukan ketenangan dan kematangan dalam usaha berkenaan.

Jangan diikutkan emosi dan bisikan syaitan, tetapi kawal diri serta fokuskan kepada matlamat kebahagiaan dalam rumah tangga.

Seterusnya, puan boleh mendapatkan pandangan dan nasihat daripada orang yang berpengalaman dan dihormati puan dan suami.

Selain itu, perbaiki hubungan dengan Allah supaya segala rahmat dan kasih sayang-Nya dapat dinikmati dan disyukuri. Allah menjadikan manusia dengan mencipta bersamanya fitrah ingin berpasangan seperti makhluk lain.

Firman Allah dalam Surah az-Zariyat, ayat 49 yang bermaksud: “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan agar kamu mengingat (kebesaran Allah).”

Manakala dalam Surah al-Imran, ayat 14 Allah berfirman yang bermaksud: “Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan, anak-anak..”

Sementara itu, terdapat dua tanggungjawab berat yang mesti dipikul institusi rumah tangga iaitu:

n Mewujudkan suasana ketenangan dan kedamaian jiwa seisi keluarga, sakinah, mawaddah dan rahmah, menjadi perisai, pelindung dan pengawas.

n Membekalkan masyarakat keupayaan untuk terus berkembang biak dengan cara sesuai dan setaraf dengan darjat manusia di samping mengangkat darjat manusia ke tahap kemuliaan paling maksimum.

Semua itu diperincikan dalam satu sistem yang lengkap iaitu sistem kekeluargaan Islam. Konsep kekeluargaan mengarahkan semua pihak kembali kepada hukum Allah, bukan hukum adat, budaya, nafsu, tindak balas emosi atau kecenderungan peribadi.

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 2:00 AM