JEMAAH berzikir di Bandar Aceh. FOTO kanalaceh
Sedetik Rasa

SEBILANGAN umat Islam mungkin menghadapi kekeliruan mengenai hukum berzikir secara berjemaah. Tidak kurang ada yang berkeras mengatakan sunah hanya berzikir sendirian, manakala amalan berzikir berjemaah itu dilabel sebagai bidaah.

Bagi menghuraikan permasalahan itu, dalam buku Kekeliruan Umat Inilah Jawapannya ditulis Ustaz Muhadir Joll menjelaskan, amalan itu adalah sunat yang mempunyai dalil syarak daripada al-Quran dan hadis.

Dalam Firman Allah dalam Surah al-Kahfi, ayat 28 yang bermaksud: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan petang dengan mengharapkan keredaan-Nya.”

Manakala dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Bukhari daripada Jarir daripada al-a’masy, daripada Abu Soleh, daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah memiliki Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para malaikat sentiasa memerhatikan majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis itu di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap mereka sehinggalah memenuhi ruang antara orang yang menghadiri majlis zikir itu dan langit.

Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis berkenaan beredar, Malaikat naik ke langit. Baginda bersabda yang bermaksud: “Allah bertanya Malaikat sedangkan Allah mengetahui pergerakan mereka dengan firman-Nya: Apa yang diucapkan hamba-Ku? Mereka menjawab: Mereka bertasbih, bertakbir, bertahmid serta mengagungkan-Mu...”

Menurut Muhadir, hadis berkenaan menunjukkan keutamaan majlis zikir, kelebihan orang-orang berzikir serta mengadakan zikir secara berjemaah.

Fadilat atau kelebihan yang ada pada majlis seumpama itu turut diberikan kepada mereka yang tidak berzikir. Namun, disebabkan mereka ada bersama di dalam majlis itu, mereka tetap mendapat kelebihan jika niatnya baik.

Selain itu, amalan berzikir secara berjemaah disandarkan pada hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim.

Daripada Ibnu Abbas, “Meninggikan suara berzikir selepas orang ramai selesai daripada solat fardu sudah pun berlaku pada zaman Nabi SAW.”

Di dalam buku itu turut dijelaskan pendapat ulama iaitu Imam Ibnu Hajar al-Haitami mengenai riwayat daripada Ibnu Mas’ud yang melarang orang berzikir secara nyaring di masjid.

Menurut Imam Ibnu Hajar di dalam Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra: Dan ada pun apa yang dinukilkan daripada Ibnu Mas’ud bahawa dia melihat sekumpulan sahabat bertahlil beramai-ramai dengan mengangkat suara di dalam masjid, lalu dia berkata: “Tidaklah aku melihat kamu melainkan membuat perkara yang baharu, sehingga (mahukah kamu) aku keluarkan kamu dari masjid?” adalah tidak benar daripadanya, bahkan tidak ada riwayat itu.

Tambahan lagi, Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abi (Wa’il) mengenai orang yang mendakwa Abdullah (iaitu Ibnu Mas’ud kerana namanya Abdullah Ibnu Mas’ud) pernah melarang (orang berbuat sedemikian) daripada berzikir, (dia berkata): “Tidak pernah aku duduk bersama Abdullah sekali-kali, melainkan ada zikrullah dalam majlis itu, Allah sahaja yang mengetahui yang benar.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 1:30 AM