FOTO Hiasan.
Kembara Mukmin

TERDAPAT tanda kebahagiaan hidup bagi seorang Mukmin yang dijelaskan ulama. Pertama, setiap kali bertambahnya ilmu, maka akan bertambah sifat rendah diri serta kasih sayangnya kepada orang lain.

Hakikatnya, tidak semua orang berpeluang mendapat ilmu seperti yang kita peroleh. Apa saja amalan atau perkara yang membawa diri seorang Mukmin itu ke syurga, dia juga akan pastikan orang di sekelilingnya turut mendapat manfaat.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Percanggahan berlaku apabila semakin banyak ilmu yang dimiliki, diri akan berasa hebat manakala orang lain tidak betul dan tidak bijak.

Dr Mustafa al-Bugha dalam kitabnya al-Wafi menyatakan, antara tanda kasih itu apabila seseorang merasakan apa saja perkara maksiat yang tidak mahu berlaku ke atas dirinya, perasaan itu juga dia tidak mahu berlaku ke atas kawan-kawannya.

Kedua, setiap amalnya bertambah maka bertambah juga perasaan takut dan berhati-hati. Apabila seseorang itu memperoleh ilmu, maka sudah pasti akan bertambah amalannya.

Apa akan jadi sekiranya kita sentiasa memungut ilmu baru, tetapi tidak mampu pula beramal dengannya? Apabila sudah bertahun satu demi satu ilmu baru diperoleh, sepatutnya amalan kita berada di kemuncak.

Sekiranya sesuatu ilmu atau amalan yang ringan pun sukar untuk dilaksanakan, itu tandanya hati kita bermasalah. Tiada jalan pintas, kita perlu berusaha untuk beramal dengan ilmu itu walaupun hanya sekali melakukannya.

Ini kerana semuanya akan disoal oleh Allah SWT kelak. Sekurang-kurangnya kita ada jawapan kepada persoalan itu kerana pernah melakukannya.

Selain itu, setiap orang mukmin perlu sentiasa terbit di hatinya perasaan takut dan berharap sekiranya amalan dan ibadatnya tidak diterima Allah SWT.

Setiap amalan kita mempunyai matlamatnya, iaitu:

1. Amalan sah dan diterima Allah SWT.

2. Amalan tidak diterima. Ia disebabkan di dalam amalan itu terdapat syirik tersembunyi, riyak, ujub dan takbur. Mereka melakukan amalan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang supaya dipuji bagus serta berasa diri begitu hebat.

3. Amalan sah tetapi dibatalkan Allah SWT. Ini berlaku apabila sesuatu amalan kebaikan dilakukan namun diungkit. Contohnya, seseorang berinfak untuk membina masjid atau surau, tetapi apabila mulutnya mula menyatakan kerana sumbangannya pembinaan itu terlaksana, maka Allah SWT akan terus padam seluruh amalannya.

4. Amalan sah, tetapi akan berpindah kepada orang lain. Perkara itu terjadi kerana mulutnya sentiasa mengumpat dan memfitnah. Cuba kita perhatikan setiap hari, berapa kali kita bercakap perihal orang lain? Dalam kita bersembang mengenai hal seseorang dan jika dia dengar dan tidak suka, maka itu akan menjadi mengumpat. Apatah lagi, jika perkara yang kita bicarakan itu tidak dilakukan, maka ia menjadi fitnah.

5. Amalan tidak sah dan tidak diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 1:30 AM