GAMBAR hiasan. FOTO Amir Irsyad Omar
Mohd Shahrizal Nasir

Ramai yang membuka akaun media sosial dengan pelbagai tujuan seperti menambah kenalan, menjejaki kawan lama, mengetahui isu semasa dan tujuan perniagaan.

Tidak dinafikan, penggunaan media sosial ada mendatangkan faedah. Begitu juga sebaliknya, ada orang mungkin ditipu, ditindas dan diaibkan melalui media sosial.

Antara perkara yang berkait rapat dengan penggunaan media sosial hari ini ialah isu troll iaitu sengaja menyinggung atau menyindir terhadap seseorang menerusi hantarannya di laman sosial.

Selain itu, ia membabitkan perbuatan individu ataupun kumpulan tertentu mencipta serta menghebahkan perkara tertentu dalam Internet melalui pelbagai saluran media sosial.

Perbuatan itu membabitkan mesej bersifat provokatif, sarkastik dan agresif yang sengaja diketengahkan untuk membuatkan orang ramai memberi maklum balas reaksi secara emosional atau berjenaka dengan matlamat tertentu.

Lebih teruk lagi apabila isu troll itu membuka aib peribadi yang sewajarnya ditutup. Namun, ia disebarkan demi mencapai tujuan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mengulas isu troll itu menerusi Al-Kafi 1006 bertajuk Hukum Troll Dalam Media Sosial.

Kesimpulan yang dinyatakan ialah perbuatan troll yang membawa ciri-ciri menyalahi syarak dilarang dan berdosa.

Antara ciri-ciri menyalahi syarak ialah apabila kandungan troll membabitkan gelaran tidak baik terhadap individu tertentu, menghina serta melaknat sesama insan, pembohongan, penyebaran fitnah dan mengadu domba.

Jika troll dibuat membabitkan perkara yang dinyatakan, maka perbuatan itu diharamkan oleh Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Rasulullah SAW juga berpesan mengingatkan umatnya supaya tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan keburukan dalam hubungan sesama manusia.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Semua perkara yang dinyatakan itu membabitkan perbuatan troll dicetuskan individu atau kumpulan yang kesannya boleh menyebabkan maruah orang lain tercalar.

Bagaimanapun, sebagai Mukmin yang baik setiap yang berlaku pasti ada sebabnya. Jika diri kita menjadi bahan troll, jangan terus menyalahkan orang lain.

Lihatlah juga sikap dan tindak-tanduk diri sendiri yang mungkin menjadi penyebab diri menjadi mangsa troll dalam media sosial.

Memang benar setiap insan tidak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan. Kadangkala tindakan yang dibuat betul, namun disalah tafsir orang lain dan tidak dapat diterima ramai, akhirnya menjadi bahan troll dalam media sosial.

Apatah lagi jika seseorang itu mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat. Dia perlu menyedari setiap tindak-tanduknya diperhatikan orang ramai.

Ketua dalam sebuah organisasi sudah pasti perlakuannya sentiasa menjadi perhatian pekerja di bawahnya. Ketika memberi arahan, dijelaskan perkara yang boleh dibuat dan perlu dihindarkan dan sasaran kerja yang perlu dicapai.

Namun tiba-tiba ketua itu melakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang diungkapkan di depan pekerjanya. Apakah reaksi pekerja terhadap ketua berkenaan?

Pastinya kesalahannya itu menjadi bahan ketawa atau cerita sensasi dalam kalangan anak buahnya. Lebih malang lagi, ia menjadi bahan troll dalam media sosial oleh pekerjanya.

Maka, perbuatan troll seperti dalam situasi itu tidak terjadi sekiranya dia menjaga tingkah lakunya daripada menjadi bahan bualan, ejekan dan juga sindiran.

Orang yang tersilap langkah, maka dialah akan menerima kesan buruknya. Usah buka pintu troll. Itulah yang perlu menjadi ingatan kita bersama.

Kefasadan atau kerosakan yang berlaku di atas muka bumi ini disebabkan perbuatan manusia sendiri. Perbuatan mencipta dan menyebarkan troll sehingga menjatuhkan air muka orang lain adalah satu bentuk kemungkaran yang dilakukan oleh tangan manusia.

Tingkah laku individu yang melakukan perkara yang tidak sepatutnya menjadi sebab dirinya dijadikan bahan troll oleh orang ramai.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)

Allah SWT mengingatkan kita pada akhir ayat itu untuk segera kembali kepada-Nya. Bagi mereka yang terbabit dengan perbuatan troll, maka tinggalkanlah perbuatan itu.

Nasihat sama juga untuk mereka yang pernah menjadi mangsa troll, jaga diri dengan sentiasa berwaspada di atas setiap tindakan dilakukan.

Usah melakukan perkara yang boleh menjadi punca orang lain melakukan keburukan. Jangan mudah menyalahkan orang lain, sebaliknya perbaiki diri dengan akhlak yang baik supaya dapat dicontohi orang lain, bukannya dijadikan bahan troll.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 12:36 PM