FOTO hiasan.
Fatimah Syarha Mohd Noordin

ANTARA nikmat terbesar buat manusia adalah diberikan nikmat masa. Sebagaimana digambarkan ulama tabiin, Hassan al Basri: “Saya lihat satu kaum (ahli salaf yang dekat zamannya dengan zaman Nabi SAW) sangat-sangat menjaga masa hingga melebihi daripada kamu menjaga wang ringgit kamu itu.”

Setiap saat itu mereka anggap peluang yang perlu direbut dengan pengisian bermanfaat. Pasti akan ada amal dan kerja yang dibuat, bahkan tidur pun dalam keadaan taat kepada Allah SWT.

Pernah tak kita lihat orang lempar duitnya ke dalam longkang? Pastinya ia tidak pernah dilakukan kerana orang itu tahu nilai duit berkenaan.

Bagaimanapun, ramai orang tidak berasa begitu ketika dia membuang masa dengan perkara sia-sia. Hakikatnya, harta yang hilang boleh dicari ganti, namun masa yang hilang tiada apa yang boleh menggantikannya.

Antara pengisian dalam buku Al-Waqtu fi Hayatil Muslim karangan Syeikh al-Qaradhawi, cara golongan salaf (yang dekat zamannya dengan zaman Nabi SAW) bagi mereka, orang yang membuang masa adalah orang kufur nikmat serta menderhaka kepada masa.

Abdullah bin Mas’ud berkata: “Belum pernah saya menyesal melainkan penyesalan saya pada setiap hari apabila terbenam matahari, semakin singkat umur saya ini sedangkan amalan saya takut-takut tidak bertambah.”

Seorang sahabat (ada menganggapnya kata-kata tabiin) berkata: “Sepanjang hari dalam hidupku, jika sehari tidak bertambah dengan ilmu pengetahuan yang boleh mendampingi diriku kepada Allah Yang Maha Mulia Lagi Agung, maka tidak ada keberkatan bagiku sejak terpancarnya matahari pada hari itu.”

Pepatah Arab menyebut, ‘Waktu ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu.’ Oleh sebab itu, orang yang menyedari hakikat itu sentiasa menjadikan setiap saat yang dilaluinya lebih baik daripada sebelumnya.

Bijak pandai berkata: “Siapa yang pada hari-hari terkininya masih kurang baik dari hari-hari yang sudah berlalu, maka dia masih lemah.

“Siapa yang hari-hari terkininya lebih buruk dari hari-hari yang sudah berlalu, maka dialah orang yang terkutuk.”

Hari ini akan menentukan hari esok kita. Ia bergantung kepada kita bagaimana mahu membentuk serta merebut segala peluang itu.

Kuasa kita juga terletak dalam pilihan yang dibuat setiap hari dengan izin Allah SWT. Seandainya pilihan itu buruk, hanya kita menzalimi diri sendiri.

Hari ini, seperti golongan dulu-dulu, kita diberi peluang memanfaatkan masa selama 24 jam saja sehari. Bahkan, itulah peluang nyawa kita dalam sehari.

Bagaimanapun, ramai dalam kalangan kita menghabiskan terlalu banyak masa menghadap telefon. Benar, ia sudah menjadi keperluan pada zaman ini.

Namun, apabila kita menjadikannya seperti ‘oksigen’ sehingga melalaikan zikir, solat dan kewajipan dunia akhirat, kita sebenarnya sedang membazir masa.

Tiada siapa pun boleh membuatkan kita berubah melainkan diri sendiri memilih untuk berubah. Hati-hati dengan nikmat masa kosong, apatah lagi ketika kita sihat.

Dua nikmat itu sering kali menjerumuskan seseorang ke lembah maksiat. Isteri al-Aziz pernah terfikir melakukan maksiat terhadap Nabi Yusuf.

Saat itu juga Firaun terus bermewah mengumpul kebendaan dan menghapuskan ancaman. Masa kosong itu ialah saat kita tidak sibuk dengan kerja.

Bahkan, ketika bekerja mencari rezeki sekalipun, jangan lupa tujuan kerja kita adalah untuk mencari bekalan akhirat supaya kita tidak mengabaikan masa untuk melaksanakan kewajipan solat.

Syeikh al-Minawi berkata: “Seorang yang berakal baligh boleh diumpamakan seperti seorang peniaga. Kesihatan dan kelapangan baginya bagaikan modal yang membolehkannya untuk mendapat keuntungan dan kejayaan. Sesiapa yang bekerja ke jalan Allah dengan mematuhi setiap suruhannya, nescaya dia beruntung. Sesiapa yang bekerja ke jalan syaitan dengan mengikutinya, nescaya hilang permodalannya itu.”

Nabi SAW berpesan supaya kita merebut lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu:

1. Hidup sebelum mati.

2. Sihat sebelum sakit.

3. Lapang sebelum sibuk.

4. Muda sebelum tua.

5. Senang sebelum miskin.

Ulama pula mengingatkan: “Pada waktu kekosongan dan kelapangan daripada kesibukan adalah nikmat yang besar. Jika seseorang hamba mengambil kesempatan pada waktu kekosongan itu untuk memuaskan hawa nafsunya, maka orang itu dikatakan kufur nikmat. Oleh itu, Allah SWT akan menjadikan dalam dirinya sentiasa runsing kerana hatinya sudah tidak bersih.”

Pengarang Kitab al-Hikam pula menasihatkan, “Sungguh malu jika kamu berada dalam kekosongan dan ringan daripada kerja dibuat tetapi kamu masih tidak mahu datang mendampingi diri dengan Allah SWT.”

Orang yang menghargai masanya akan segera mengisi masa dengan kerja hari ini. Orang yang menangguhkan kerja hari ini ke hari esok, mahu ditangguhkan ke mana pula kerja hari esok?

Bagi mengelakkan sikap suka bertangguh ini, Nabi SAW mengajar satu doa yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung dengan nama-Mu daripada rasa sedih dan duka, aku berlindung dengan nama-Mu daripada rasa lemah dan malas, aku berlindung dengan nama-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung dengan nama-Mu daripada beban hutang dan penindasan orang.

Menyedari nikmat masa dan buruknya membazir masa, kita sebenarnya tidak perlu menanti hari baru untuk berubah menjadi insan yang lebih menghargai masa.

Kita hanya perlukan ‘minda’ baru. Jika kita fikirkan tujuan yang kecil, kita hanya boleh menjangkakan pencapaian yang kecil. Jika kita fikirkan tujuan yang besar, kita boleh memenangi kejayaan yang besar.

Kejayaan sebenar semakin dekat apabila kita memberikan komitmen secara konsisten terhadap apa yang kita lakukan. Itulah yang dipesan Nabi SAW. Allah SWT sukakan sesuatu amalan kebaikan itu walaupun sedikit tetapi ia dilakukan secara berterusan.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 2:00 AM