FOTO Hiasan.
Datuk Dr Zahazan Mohamed

BAGAIMANA cara untuk menjadi orang yang bersyukur? Bagi saya, untuk mengamalkan syukur ini bukannya mudah. Mohon ustaz berikan tip supaya kita dapat menjadi orang yang sentiasa bersyukur dalam keadaan susah mahupun senang.

Razak, Kulim, Kedah

ALLAH SWT menganugerahkan manusia pelbagai nikmat yang sempurna sama ada zahir atau batin. Kemudian Allah SWT memerintahkan kita supaya bersyukur kepada-Nya.

Perkara itu dilihat sebagai sesuatu yang wajib agar ibadat yang kita laksanakan itu menjadi lebih baik. Sesiapa mengingati Allah SWT bererti dia bersyukur kepada-Nya dan sesiapa yang bersyukur kepada Allah, pasti dia akan berusaha memperelokkan ibadatnya.

Begitu juga sesiapa yang mensyukuri nikmat Allah SWT, pasti Allah SWT akan tambah nikmat-Nya. Allah SWT berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud: “...Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu...”

Sebab itu, Allah memerintahkan seseorang untuk bersyukur. Atas dasar syukur itu pula Allah berjanji untuk menambah kebaikan baginya.

Syukur kepada Allah adalah inti ibadat. Nikmat sama ada yang kelihatan atau tersembunyi, khusus mahupun umum, semuanya berasal daripada Allah SWT.

Nabi SAW menunjukkan faktor yang sangat kuat supaya seseorang mudah mensyukuri nikmat Allah SWT adalah setiap hamba hendaklah memerhatikan orang yang lebih rendah daripadanya dari sudut akal, keturunan, harta dan nikmat lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah kamu melihat kepada orang yang berada di atas kamu kerana yang demikian itu lebih patut bagi kamu supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kamu.” (Riwayat Bukhari)

Ramai manusia berharap mereka boleh menghampiri kepada apa yang dinikmatinya seperti kesihatan, harta, rezeki, tubuh badan dan akhlak.

Kemudian dia akan banyak memuji Allah SWT yang mengurnikan nikmat berkenaan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang melihat orang yang terkena musibah, kemudian dia mengucapkan Alhamdulillahillazi ‘afani mimmab talaka bihi wafadh dolani ‘ala kasiirin mim man khalaqa tafdhilaa maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang menyelamatkan aku daripada musibah yang Allah timpakan kepadamu. Dan Allah memberikan kelebihan kepadaku melebihi makhluk-makhluk yang lain), maka musibah itu tidak terkena kepadanya.” (Riwayat Muslim)

Jika dia melihat orang yang kurang harta, maka dia akan bersyukur atas kelapangan rezeki yang dikurniakan kepadanya.

Jika dia melihat orang sakit terlantar di hospital, dia bersyukur atas anugerah kesihatan yang dinikmatinya.

Begitu juga jika dia melihat orang yang dihukum penjara bertahun-tahun lamanya, maka dia akan bersyukur dengan nikmat kebebasan dimilikinya.

Selain itu, jika dia melihat orang lain masih tidak mempunyai anak, dia perlu bersyukur atas anugerah anak kepadanya.

Seseorang pasti akan bersyukur apabila dia melihat orang lain kurang akal, maka dia bersyukur atas kurniaan nikmat kecerdikan yang Allah SWT berikan kepadanya.

Begitu juga apabila kita melihat ada orang hidupnya tidak berpegang dengan agama, kita pasti bersyukur di atas nikmat taufik dan hidayah yang Allah SWT berikan buat diri kita.

Sebaliknya, sekiranya seseorang ditimpa musibah, dia hendaklah melihat orang lain yang ditimpa musibah lebih besar daripadanya, lalu dia pasti akan terasa amat bersyukur.

Antara doa yang diajar Rasulullah SAW ialah: Allahumma a’inni ‘ala zikrika wasyukrika wa husni ibadatik bermaksud: “Ya Allah bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan melakukan ibadat kepada-Mu dengan baik.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 2:00 AM