ANGGOTA bomba sedia bertugas tidak mengira waktu dan tempat demi membantu orang ramai. - Gambar hiasan
Bersama Mohd Rizal Azman Rifin

Manusia tidak mengetahui bila masa mereka akan mati dan di bumi ma na jasad mereka akan disemadikan. Semua urusan itu hanya dalam pengetahuan Allah SWT.

Sebagai manusia biasa, kita memang berasa sedih atas pemergian insan tersayang. Rasulullah SAW sendiri pun mengalirkan air matanya apabila putera kecintaan Baginda, Ibra him meninggal dunia.

Tegas Baginda SAW, air matanya yang mengalir itu adalah lambang rasa kasih sayangnya kepada puteranya itu. Tidak menjadi kesalahan mahupun mengundang dosa sekiranya kita menangis dan menitiskan air mata apabila kehilangan orang yang disayangi.

Cuma yang ditegah adalah apabila kesedihan itu dilakukan secara melampau dengan meraung seperti dilakukan kaum lain. Umat Islam dididik dengan asuhan adab dan kaedah terpuji dengan tidak melampaui batas ketika diri berada dalam keadaan hiba dan sayu.

Banyakkan berdoa buat mereka yang sudah meninggalkan dunia ini kerana doa orang masih hidup, apatah lagi jika yang memanjatkan doa itu adalah ahli keluarga sendiri, sudah pasti ia menjadi ‘hadiah’ terbaik buat kesejahteraan arwah di alam barzakh.

Baru-baru ini, seluruh negara bersedih apabila seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama tiga minggu akibat dipukul ketika menjalankan operasi dalam insiden di sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor.

Bagaimana sedihnya kita dengan kematian Muhammad Adib itu, ia tidak sama dengan apa dialami ahli keluarganya khususnya kedua-dua ibu bapanya.

Ibu bapa mana yang tidak sugul dan berduka apabila berdepan ujian kematian anak yang disayangi serta menjadi tonggak dan harapan keluarga.

Bagaimanapun, tiada siapa yang dapat menghalang takdir yang sudah ditetapkan Allah SWT. Pemergian Muhammad Adib begitu mulia kerana beliau sedang menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai seorang penjawat awam.

Ia juga simbol taat setia kepada agama dan negara. Arwah menjunjung tinggi ikrar dan janjinya selaku seorang anggota bomba yang bertugas demi kesejahteraan masyarakat.

Muhammad Adib layak diangkat sebagai hero negara kerana berjaya melunaskan tanggungjawab serta amanah yang terpikul di bahunya dengan penuh integriti.

Petugas awam seperti anggota bomba adalah golongan yang bertugas demi manfaat dan kesejahteraan hidup masyarakat.

Rasulullah SAW sendiri pernah memberitahu ba-hawa sesiapa dalam hidupnya sentiasa dapat memberikan manfaat kepada insan lain, dia sangat dicintai Allah SWT.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh At-Tabrani, dilaporkan ada seorang sahabat mengajukan pertanyaan kepada Baginda SAW.

Sahabat itu bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling disukai Allah? Dan amalan apa yang paling disukai Allah?”

Rasulullah SAW menjawab: “Orang yang paling disukai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hadirkan buat seorang Muslim atau engkau angkat kesusahan yang menimpanya, atau engkau langsaikan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya. Dengan aku berjalan bersama saudaraku untuk suatu urusannya lebih aku suka daripada dapat beriktikaf di masjid ini selama sebulan.”

Demikian juga buat golongan yang bertugas sebagai anggota bomba dan penyelamat. Mereka sentiasa menjulang tinggi obor kemanusiaan demi menyelamatkan manusia lain yang memerlukan bantuan.

Mereka sanggup menggadai nyawa demi menyelesaikan misi penugasan di lokasi yang diarahkan. Tidak sedikit pun ada perasaan gentar dan bimbang dengan kecederaan yang mungkin berlaku ke atas diri asalkan misi itu terlaksana dengan jayanya.

Sudah banyak berlaku insiden anggota bomba dan penyelamat terkorban ketika sedang menjalankan tugas kemanusiaan.

Jangan sesekali kita cuba memperlekehkan bidang tugas mereka. Tanpa sumbangan dan jasa mereka, pelbagai insiden buruk kemungkinan tidak dapat ditangani.

Rasulullah SAW tegaskan dalam satu sabdanya: “Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti.” (Riwayat Al-Baihaqi daripada Aisyah)

Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 3:13 PM