EMAS antara harta kekayaan manusia ketika di dunia.
Datuk Dr Zahazan Mohamed

Mengapa ramai orang tidak beriman serta tidak melaksanakan perintah Allah SWT tetapi dikurniakan rumah dan harta benda yang mewah? Saya mempunyai saudara, hidupnya sangat mewah tetapi mereka tidak menjaga solat dan juga tidak berpuasa?

Zaki, Melaka

Kemewahan pada harta benda bukanlah tanda reda dan cinta Allah SWT kepadanya.

Allah SWT berfirman dalam Surah az-Zukhruf, ayat 33 hingga 35 yang bermaksud: “Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka daripada perak dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (daripada perak juga).

“Dan juga pintu-pintu rumah mereka (daripada perak juga), dan kerusi-kerusi panjang yang mereka berbaring di atasnya (daripada perak juga), serta pelbagai barang perhiasan (keemasan). Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah kesenangan hidup di dunia, dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertakwa.”

Ibnu Abbas, al-Hasan al-Basri, Qatadah dan as-Suddi menjelaskan maksud ayat, “Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran)” adalah sekiranya tidak dihindari, manusia jahil yakin bahawa limpahan harta kekayaan adalah bukti kecintaan Allah SWT, lalu mereka berkumpul di dalam kekafiran demi harta kekayaan.

Potongan ayat seterusnya, Allah SWT menyatakan semua itu hanyalah kesenangan kehidupan dunia yang penuh tipu daya dan hina menurut pandangan Allah.

Allah SWT menyegerakan kebaikan yang orang kafir usahakan di dunia ini meliputi makanan, minuman dan lain-lain sebagai pengganti balasan pada hari akhirat.

Maka, tiada satu kebaikan pun yang mereka peroleh di sisi Allah SWT akan dibalas dengan pahala pada hari akhirat kelak.

Dalam hadis sahih riwayat at-Tirmizi menyebut: “Sekiranya dunia itu sama dengan berat sayap seekor nyamuk di sisi Allah, tentulah Dia (Allah) tidak memberi minum seorang kafir pun meskipun seteguk air selama-lamanya.”

Seterusnya, pada penghujung ayat 35, Surah az-Zukhruf menyebut bahawa kehidupan akhirat itu khusus bagi mereka yang bertakwa dan bukannya buat golongan selain daripada itu.

Dalam satu peristiwa, Rasulullah SAW pernah bersumpah tidak menggauli isteri-isterinya selama sebulan yang disebut sebagai iilaa’.

Lalu Umar bin al-Khatab memberikan bejana tempat minum kepada Baginda. Ketika itu, Umar melihat bekas tikar pada tubuh Baginda SAW sehingga Umar menangis.

Umar berkata: “Wahai Rasulullah, Kisra (Raja Parsi) dan Kaisar (Raja Rom) berada dalam kemewahan sedangkan tuan adalah manusia pilihan Allah”? Ketika itu Baginda SAW bersandar, kemudian duduk tegak dan bersabda: “Apakah engkau berada dalam keraguan wahai Umar?”

Kemudian Baginda melanjutkan: “Mereka itu adalah satu kaum yang disegerakan kebaikan mereka di dalam kehidupan dunia.” (Sahih Muslim)

Kerana itu juga Nabi SAW melarang bekas minuman dan makanan daripada emas dan perak kerana itu adalah kenikmatan bagi orang yang tidak beriman.

Itu adalah kehinaan dunia sebagaimana dinyatakan dalam hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu minum dengan menggunakan bekas emas dan perak, dan janganlah kamu makan dengan menggunakan piring daripada kedua-duanya. Sebab kedua-duanya adalah peruntukan bagi mereka (orang kafir) di dunia dan diperuntukkan bagi kita di akhirat.”

Justeru, apabila seorang Muslim meletakkan matlamat utamanya untuk akhirat, dia akan merasakan dunia ini kecil. Allah SWT akan menjadikan kekayaan dalam jiwanya.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 10:00 AM