REBUT peluang membuat amal ibadat dan kebaikan sementara ada hayat di dunia.
Mohd Shahrizal Nasir

BAGINDA SAW membawa risalah terakhir yang diterima daripada Allah SWT sebagai panduan dalam kehidupan.

Wahyu Ilahi itu mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya yang terang iaitu iman.

Firman Allah SWT bermaksud: “Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang yang kafir, para penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 257)

Umat Islam dituntut melakukan kebaikan selain mengajak orang lain ke arah kebaikan. Apa saja bentuk keburukan dan kemungkaran ditegah Islam secara mutlak.

Hal itu dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 104)

Rasulullah SAW juga menjelaskan usaha menyebarkan kebaikan menerusi sabdanya bermaksud: “Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia bero-
leh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.” (Hadis riwayat Muslim)

Semua dalil itu menekankan kepentingan umat Islam melakukan kebaikan dan menyeru orang lain turut melakukan kebaikan. Hanya orang yang gagal memahami keindahan Islam akan melihat Islam dengan pandangan yang sempit.

Islam memperjuangkan kebaikan dan segala perbuatan baik. Islam juga menggesa umatnya berlumba-lumba melakukan kebaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana saja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Dalam usaha berlumbalumba melakukan kebaikan, jangan pula ada yang menyekat orang lain daripada melakukan kebaikan. Setiap Muslim mendapat peluang sama banyak untuk melakukan kebaikan, seterusnya memperoleh ganjaran yang dijanjikan oleh-Nya.

Semuanya bergantung kepada usaha dan kehendak diri. Selain itu, apa saja amal kebajikan yang dilakukan, perlu diniatkan hanya kerana Allah SWT dan bukan kerana ganjaran daripada manusia.

Kita dilarang meremeh-remehkan amal kebaikan yang mungkin pada mata kasar kita amalan itu kecil.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Janganlah meremehkan kebaikan walaupun hanya berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang tersenyum kepadanya. Amalan itu adalah sebahagian daripada kebajikan.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Melakukan kebaikan juga tidak tertumpu kepada amalan yang membawa kebaikan untuk diri sendiri. Kita juga dianjurkan berusaha melakukan kebaikan terhadap orang lain.

Hulurkanlah apa juga bantuan berdasarkan kemampuan diri supaya bantuan itu dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Islam juga menitik-beratkan kebersamaan dalam kebaikan sehingga orang yang dikira sebagai sebaikbaik manusia adalah mereka yang dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain).” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Lihatlah orang di sekeliling kita, hulurkan bantuan sekiranya ada insan yang memerlukan. Bantuan bukan saja dalam bentuk wang ringgit, tetapi rasa kebersamaan, memberi nasihat, memudahkan urusan, mengambil berat, menzahirkan simpati, memahami perasaan dan banyak lagi bentuk bantuan yang boleh meringankan beban orang lain.

Kita semua mempunyai dosa yang perlu ‘ditebus’ dengan kebaikan. Maka, dengan melakukan kebaikan serta berlumba-lumba melakukannya, ia dapat menghapuskan dosa dan kesilapan lalu.

Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 114 bermaksud: “Dan dirikanlah waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amalan-amalan kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat.”

Pujuklah diri untuk melakukan kebaikan kepada diri sendiri serta orang lain. Usah berfikir panjang untuk melakukan kebaikan. Peluang untuk melakukan kebaikan terbentang luas di depan mata kita.

Setiap hari daripada bangun tidur sehingga kembali semula ke tempat tidur, pasti banyak peluang untuk melakukan kebaikan. Firman Allah SWT bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…” (Surah al-Israk, ayat 7)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 1:48 PM