FOTO Hiasan.
Datuk Dr Zahazan Mohamed

SAYA teringin hendak bersedekah, tetapi disebabkan duit yang ada mahu digunakan untuk keperluan keluarga menyebabkan saya tidak jadi melakukannya. Boleh ustaz berikan motivasi bagaimana hendak menjiwai semangat mahu bersedekah?

Wan, Gombak, Selangor

DI DALAM kitab Fiqh Islamiwa Adilatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaili dinyatakan: “Disunatkan penghutang atau orang yang dibebani tanggungjawab nafkah keluarga untuk tidak melakukan sedekah sehinggalah dia menunaikan kewajipannya.”

Pendapat terkuat dalam mazhab Syafii adalah haram penghutang yang tidak mempunyai wang untuk melangsaikan hutangnya untuk bersedekah atau terbeban dengan tanggungjawab keluarga dengan nafkah sehari semalam kerana semua itu adalah kewajipannya.

Ia tidak boleh ditinggalkan dengan yang sunat (sedekah). Begitu juga hutang, ia diutamakan kerana itu adalah wajib.

Untuk menjadikan diri bersemangat mahu bersedekah, kita hendaklah melihat kepada kelebihan atau habuan yang dijanjikan Allah SWT dan Rasul-Nya. Antaranya:

1. Allah SWT menggambarkan gandaan bagi orang yang bersedekah biji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai mengandungi seratus biji. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai itu mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

2. Allah menggambarkan orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah umpama kebun yang ditimpa hujan mengeluarkan hasil dua kali ganda. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 265 yang bermaksud: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat, maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”

3. Allah menjelaskan lagi, apa saja yang didermakan pasti Allah akan menggantikannya. Firman Allah SWT dalam Surah Saba’ ayat 39: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya.

Dan apa saja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.”

4. Allah menerangkan, setiap kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya. Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 160: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari akhirat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya.”

Begitu juga Rasulullah SAW menggambarkan bahawa sedekah sebiji tamar menjadi sebesar gunung. Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bersedekah meskipun nilainya cuma sebiji tamar, yang diperolehnya dengan cara yang baik - dan Allah hanya menerima yang baik- nescaya Allah akan menerimanya dengan baik, kemudian menjaganya seolah-olah seperti kalian menjaga anak kuda sehinggalah ia menjadi sebesar gunung.” (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW menjelaskan, satu dirham yang didermakan boleh jadi lebih baik daripada 100,000 dirham. Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Satu dirham lebih baik daripada 100,000 dirham.” Sahabat bertanya, “Bagaimana demikian?”

Jawab Baginda, “Seseorang yang mempunyai dua dirham, dia sedekahkan salah satunya dengan seseorang yang banyak harta, dia menyedekahkan 100,000 dirhamnya.” (Riwayat al-Nasa’i)

Justeru, perkara seperti itu sudah tentu akan memberikan kita semangat untuk berinfak dan bersededekah.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 2:00 AM