FOTO Hiasan.
Suriany Awaludin

SAYA ada kemusykilan mengenai takliq. Jika suami berkata kepada isterinya seperti, “Kau sudah tidak tahan bersuamikan aku? Kau berambus keluar dari rumah ini, jatuh kau talak satu.”

Dalam situasi itu, isteri benar-benar keluar dan ketika dia hendak menuruni tangga apartmen, suami menarik semula tangan isterinya masuk ke dalam rumah.

Bermakna, isteri tidak berjaya keluar dari kawasan perumahan itu kerana sempat ditahan suami. Suami juga tidak menyangka isterinya bertindak demikian walaupun dia sudah mendengar ugutan talak daripada suaminya.

Adakah tindakan suami itu tetap menjatuhkan talak terhadap isteri?

Ingin tahu, KL

NABI SAW berpesan kepada umatnya berkaitan lafaz yang memberi kesan kepada sesuatu hukum kerana sifat manusia adakalanya ampuh terhadap tekanan atau emosi.

Sifat itu sebenarnya banyak didorong bisikan syaitan dan iblis yang sentisa mencari ruang untuk merosakkan kehidupan manusia dan umat Islam.

Hadis yang diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: “Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah dan secara gurauan juga akan menjadi sah: nikah, talak dan rujuk. Huraian bagi hadis di atas adalah, apa-apa lafaz nikah, talak dan rujuk yang diucapkan sama ada ketika bergurau atau ketika bersungguh-sungguh melafazkannya akan menjadikan lafaz yang diucap itu sah.

Tiada pengecualian apabila segala rukun dan syarat lafaz itu lengkap, maka ia tetap memberi kesan hukum.

Dalam persoalan minggu ini, ketika suami melafazkan kata-kata itu, isterinya ada bersamanya dan mendengar ucapan berkenaan. Dalam menjelaskan maksud hadis di atas mengenai lafaz nikah, talak dan rujuk yang diucap dengan lengkap segala rukun serta syaratnya akan menyebabkan lafaz itu sah dan memberi kesan hukum.

Oleh itu, lafaz yang dibuat suami perlu dilihat kepada rukun dan syarat talak satu persatu.

Semua ulama bersepakat, lafaz talak itu sah apabila memenuhi lima rukunnya iaitu, suami, lafaz yang digunakan, diqasadkan (diniatkan) kepada siapa talak itu, isteri dan talak itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami. Kelimalima rukun itu sudahpun dipenuhi dalam situasi di atas. Seterusnya perlu dilihat pula kepada bentuk lafaz yang diucapkan sama ada ia jelas atau kinayah.

Pada asalnya, lafaz talak yang jelas itu menjatuhkan talak sekalipun tanpa niat. Ini termasuklah menyebut perkataan cerai. Lafaz talak kinayah (tidak jelas, kiasan) pula tidak menjatuhkan talak melainkan jika disertakan niat ketika ucapan itu disebut. Suami menyatakan: “Berambus keluar dari rumah, jatuh kau talak satu”.

Maksud yang difahami secara bacaan pada lafaz itu adalah suami letakkan syarat isteri keluar dari rumah dan jatuh satu talak.

Tidak ada di dalam lafaz itu keluar dari kawasan perumahan baru jatuh talak atau sebagainya.

Apabila sempurna perbuatan keluar dari rumah, maka jatuhlah talak satu pada ketika itu.

Talak itu digantungkan dengan perbuatan keluar dari rumah. Oleh itu, apabila sempurna pelanggaran syarat, maka ia akan menjatuhkan talak.

Sekiranya pembaca mahu mengetahui sama ada lafaz itu menyebabkan talak jatuh atau tidak, hendaklah dirujuk ke Mahkamah Syariah. Berpandukan bacaan daripada persoalan semata-mata tidak memadai untuk membuat sebarang keputusan sama ada jatuh atau tidak talak itu. Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Negeri memperuntukkan bagi pendaftaran perceraian di luar mahkamah.

1. Seseorang yang menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada pelafazan talak itu melaporkan kepada mahkamah.

2. Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talak yang dilafazkan itu sah mengikut hukum syarak.

3. Jika mahkamah berpuas hati talak yang dilafazkan itu adalah sah mengikut hukum syarak, maka tertakluk kepada seksyen 125:

a. Membuat perintah membenarkan perceraian dengan talak.

b. Merekodkan perceraian itu.

c. Menghantar salinan rekod itu kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar bagi pendaftaran.

Dalam menjalankan kuasa di atas, mahkamah akan menjalankan siasatan terhadap kedua-dua pihak suami dan isteri

bagi mendapatkan gambaran yang jelas dari segi hukum syarak berkaitan lafaz berkenaan. Sekiranya didapati suami memang berniat, maksud jatuhnya talak itu adalah dengan hanya tindakan isteri keluar dari pintu rumah, maka mahkamah akan mensabitkan gugurnya talak dari saat isteri melanggar atau meyempurnakan arahan suami.

Namun jika suami berniat atau maksudkan sebaliknya seperti keluar dari taman perumahan, maka ia tidak menggugurkan talak dan pasangan masih suami isteri yang sah.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 2:00 AM