FOTO Hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

ANTARA gembira dan sedih, pastinya semua orang ingin sentiasa berasa gembira. Gurauan adalah antara perkara yang dapat mendatangkan kegembiraan dan menghilangkan tekanan.

Bagaimanapun, gurauan yang dilakukan secara melampau boleh mendatangkan kesan negatif. Sesuatu perbuatan yang dilakukan secara melampau biasanya mudah terdedah kepada kesan buruk.

Islam amat melarang perbuatan melampaui batas kerana ia boleh memusnahkan keharmonian dalam kehidupan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah, ayat 190)

Bergurau mempunyai kaitan rapat dengan adab berkomunikasi. Dalam komunikasi, seseorang perlu memahami situasi sekelilingnya supaya dia sentiasa menuturkan kata-kata yang bersesuaian dengan keadaan.

Berbual dengan orang tua berbeza dengan berbual bersama rakan sekerja. Begitu juga ketika berbicara dengan ibu bapa dan guru.

Susunan kata dan gaya bahasa yang dituturkan perlu disesuaikan dengan keadaan dan kedudukan orang berkenaan.

Islam memberi panduan dalam berkomunikasi selain memberi penjelasan berhubung tabiat bergurau. Meskipun tujuan asal bergurau adalah untuk mencetuskan suasana gembira dan ketawa, namun apabila ia dilakukan secara berlebihan, tidak mustahil perbuatan itu menyebabkan pelakunya mendapat dosa.

Contohnya, apabila seorang anak cuba mencipta suasana ceria dengan gurauan melampau terhadap ibu bapanya di hadapan jiran tetangga. Meskipun ia mengundang ketawa, tetapi situasi itu dilihat sebagai perbuatan tidak beradab, apatah lagi gurauan itu menyebabkan hati ibu bapa terluka.

Begitu juga gurauan anak murid terhadap gurunya. Gurauan yang dilontarkan secara terbuka di dalam kelas sehingga menjatuhkan air muka guru adalah satu tindakan yang tidak sopan.

Sesetengah individu pula yang mengambil peluang menjatuhkan air muka orang lain dengan menggunakan alasan ‘bergurau’.

Dalam Islam, menjaga maruah sesama insan adalah tanggungjawab yang perlu dipikul setiap Muslim. Sebagaimana kita tidak suka sesuatu perkara tidak baik berlaku kepada diri sendiri, begitulah juga yang sepatutnya dihindari supaya tidak berlaku kepada orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Muttafaq ‘alaih)

Rasulullah SAW juga pernah bergurau, tetapi gurauan Baginda bebas daripada sebarang unsur tidak baik. Baginda SAW pernah didatangi seorang perempuan tua bertanya mengenai usia penghuni syurga.

Lalu Baginda SAW menjelaskan, semua penghuni syurga adalah dalam kalangan orang muda. Perempuan itu menangis memikirkan keadaan dirinya yang tidak termasuk dalam kalangan ahli syurga.

Kemudian Baginda SAW menjelaskan kepada perempuan itu sebenarnya semua penghuni syurga akan sentiasa kekal muda dan umur mereka tidak akan meningkat.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadisnya bermaksud: “Ahli syurga akan masuk ke dalam syurga dalam keadaan jurdan (yang tidak berbulu di badan), murdan (yang tidak janggut), hitam kelopak matanya (seperti bercelak), muda remaja berusia 30 atau 33 tahun.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sekiranya orang Islam sedar setiap perkataan dan perbuatan mereka dinilai oleh Allah SWT, pastinya mereka lebih berhati-hati pada setiap masa. Gurauan tidak dibuat untuk menjatuhkan air muka seseorang, apatah lagi berdusta atau menghina insan lain.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas

yang selalu hadir.” (Surah Qaf, ayat 18)

Menjaga mulut dengan berdiam diri jauh lebih baik daripada mencipta gurauan merapu serta mengundang keburukan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia berkata perkara yang baik atau diam.” (Muttafaq ‘alaih)

Selain itu, seseorang tidak boleh juga dilihat serius pada setiap masa. Begitu juga elakkan bergurau sehingga menyebabkan orang terkejut dan memudaratkan kesihatannya.

Dalam kehidupan berumah tangga misalnya, hubungan suami dan isteri akan lebih mesra jika masing-masing bergurau pada tempatnya.

Hal nikah dan talak tidak boleh dijadikan modal untuk bergurau selain tidak sesekali menjadikan perkara akidah seperti bab ketuhanan sebagai bahan gurauan.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 2:00 AM