Fatimah Syarha Mohd Noordin

Hidup ini perlu ada budaya nasihat-menasihati. Kita boleh menasihati orang lain namun bersedia juga untuk menerima nasihat. Ada orang rajin mencegah manusia daripada dosa, tetapi melupakan diri sendiri asyik membuat dosa itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan dan kamu melupakan diri kamu sendiri, dan kamu membaca kitab. Tidakkah kamu berfikir?” (Surah al-Baqarah, ayat 44)

Masyarakat merindukan keperibadian individu yang bercakap sesuai dengan perbuatannya. Mereka bingung apabila telinga yang pada mulanya ditiup kata-kata semangat, tetapi mata mereka menyaksikan orang yang bercakap itu melakukan perbuatan tercela.

Akibatnya, masyarakat tidak lagi percayakan agama kerana hilang kepercayaan kepada segelintir pengucapnya.

Kata-kata yang keluar bersama ruh boleh dilihat berdasarkan kehidupan pengucapnya. Ia mampu membuka hati yang tertutup, mata yang terpejam dan telinga yang tersumbat.

Seorang penyair berkata:

Wahai insan yang menjadi guru orang lain,

Perhatikan dirimu, sebab dirimu juga perlukan pengajaran,

Engkau tentukan ubat untuk yang sakit agar dia menjadi sihat,

Sedang engkau sendiri dalam derita.

Mulailah dari dirimu sendiri,

Cegahlah dirimu dari penyimpangan.

Jika seseorang telah bersih daripada penyimpangan,

Maka kaulah si bijak itu,

Yang akan didengar setiap katanya,

Dan dicontoh semua perilakunya,

Saat itulah pengajaranmu memberi erti.

(Dirujuk dalam buku Fiqih Dakwah oleh Jum’ah Amin Abdul Aziz)

Setiap nilai yang mahu diluahkan, kita perlu berusaha menjadikannya sebati dalam ucapan dan perbuatan. Diri kita yang sebenar adalah ketika kita duduk bersendiri atau bersama keluarga yang jauh daripada pandangan orang lain.

Keluarga menjadi saksi amal perbuatan kita. Maka, bersikap jujurlah sebagai individu, anggota keluarga dan masyarakat.

Ali RA berkata, “Barang siapa meletakkan dirinya sebagai pemimpin, maka hendaklah dia memulai dengan mengajari dirinya sebelum mengejari orang lain. Dan hendaklah dia membersihkan langkah kehidupannya sebelum membersihkan lisannya. Kerana orang yang mengajari dan membersihkan dirinya itu lebih berhak dimuliakan daripada orang yang mengajari manusia dan membersihkan mereka.” (Fiqih Dakwah oleh Jum’ah Amin Abdul Aziz)

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan.” (Surah al-Sof, ayat 2-3)

Ibnu Katsir mentafsirkan, ia adalah pengingkaran atas orang yang berjanji atau berkata sesuatu yang dia tidak menepatinya. Dalam Kitab Bukhari Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu ada tiga: Bila berjanji dia mengingkari, bila berbicara dia berdusta, dan bila dipercaya dia berkhianat.”

Ibnu Jarir al-Tabari dalam Tarikhnya, daripada Salim bahawa sesungguhnya Umar bin Khattab apabila naik ke mimbar untuk melarang manusia daripada sesuatu, dia mengumpulkan keluarganya dan berkata, “Sesungguhnya aku melarang manusia daripada sesuatu dan sesungguhnya manusia itu melihat kalian seperti burung yang melihat. Aku bersumpah kepada Allah, aku tidak akan mendapatkan salah seorang di antara kamu yang melakukannya (melanggar larangan) kecuali aku akan lipat gandakan hukumannya, kerana posisi kalian yang dekat denganku.”

Sifat jujur dan istiqamah sangat ditekankan dalam al-Quran dan sunah. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud daripada Abdullah bin Amirbin Rabi’ah, dia berkata, “Telah datang kepada kita Rasulullah dan waktu itu aku masih kecil, maka aku pergi keluar untuk bermain. Ibuku berkata, “Wahai Abdullah, kemarilah, saya akan memberikanmu sesuatu.”

Maka, Rasulullah bertanya, “Apa yang hendak engkau berikan kepadanya?” Dia berkata, “Kurma.” Maka Nabi SAW bersabda, “Ingatlah sesungguhnya jika engkau tidak melaksanakannya, maka akan dicatat untukmu kebohongan.”

Para ulama salaf, misalnya Imam Ahmad melarang meriwayatkan hadis daripada seseorang yang menempuh perjalanan panjang untuk mengambil hadis daripadanya, tetapi apabila sampai didapati orang itu berbohong kepada keldainya.

Dia mengumpul kerikil dan memanggil keldainya agar keldainya menganggap akan diberikan makanan, padahal cuma kerikil, bukan makanan. Imam Ahmad merasa keberatan untuk meriwayatkan hadis daripadanya kerana dia berbohong kepada keldainya.

Menyentuh soal keldai, Allah SWT membuat perumpamaan yang sangat menyentap jiwa. Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab.

Imam al-Qurtubi mentafsirkan ayat dari Surah al-Jumu’ah, ayat 5 berkenaan. Allah SWT menyamakan mereka (orangYahudi) dengan keldai kerana Taurat ada di tangan, tetapi mereka tidak mahu mengamalkannya.

Mereka seperti keldai membawa kitab dan dia tidak memperoleh apa-apa kecuali beratnya memikul tanpa faedah. Mereka kelelahan membawanya, namun tidak dapat memanfaatkan apa yang ada di dalamnya.

Ayat itu juga menyinggung kita kaum Muslimin jika kita tidak mengamalkan al-Quran dan tidak mempraktikkan apa yang ada padanya.

Kesimpulannya, kita bertanggungjawab kepada masyarakat, tetapi jangan sampai melupakan pula tanggungjawab terhadap diri sendiri. Kesibukan memperbaiki manusia seharusnya tidak memalingkan kita daripada membaiki diri sendiri.

Kita wajib memenuhi tanggungjawab terhadap diri sendiri, kemudian kepada keluarga dan masyarakat. Realitinya, manusia mudah lupa apa yang kita katakan, tetapi mudah terikut-ikut dengan keperibadian yang dilihat dengan matanya.

Penulis ialah pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 9:00 AM