FOTO HIASAN
Suriany Awaludin

Saya kini sedang berpantang di rumah ibu bapa saya di kampung. Saya agak sedih kerana hampir sebulan keluarga mentua seperti tidak melayan saya. Perkara itu dapat dilihat apabila kami berbual dalam kumpulan WhatsApp keluarga. Tiada tanya khabar keadaan saya atau cucu mereka.

Apabila saya hantar gambar terbaru anak di WhatsApp, mereka tidak menunjukkan reaksi gembira dan cuba bercerita perkara lain.

Suami ada menyatakan, ibunya hendak sangat saya berpantang di rumahnya, malah suami kerap meminta saya menuruti kehendak ibunya itu. Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang saya lebih selesa berpantang di rumah keluarga. Kalau perkara itulah yang menyebabkan hubungan saya dan keluarga mentua dingin, saya tidak dapat elakkan kerana tetap dengan keputusan untuk berpantang di sini sehingga sihat sepenuhnya.

Dalam situasi ini, adakah saya dianggap ingkar dengan kehendak suami serta berdosa membuat ibu mentua berkecil hati?

Yan, Ampang

Perancangan berpantang selepas bersalin sewajarnya dibincangkan secara harmoni antara suami isteri. Perbincangan itu penting memberi ruang kepada setiap pasangan menjelaskan pendirian masing-masing sebelum membuat keputusan.

Setiap wanita yang melalui proses bersalin dan berpantang, khususnya bagi orang Melayu akan memilih tempat yang selesa mengikut dirinya.

Sudah pasti rumah ibu kandung dan dijaga sendiri ibu sendiri menjadi pilihan. Pilihan dijaga ibu kandung semasa berpantang menjadi keutamaan kerana pertalian ibu dan anak itu sangat istimewa.

Mungkin dari situlah wujudnya perasaan dan keadaan yang amat selesa untuk wanita berpantang. Tempoh berpantang juga adalah antara saat paling eksklusif buat wanita.

Pada waktu itu, wanita berada dalam keadaan beremosi dan fizikal mereka juga tidak kuat yang memerlukan sokongan dan persekitaran kondusif.

Suami dan ahli keluarga sewajarnya memberi ruang kepada wanita itu menentukan tempat mereka berehat dan berpantang.

Walau bagaimanapun, menyentuh mengenai hubungan dan kedudukan ibu mentua bersama menantu, Islam meletakkan keutamaan sama sepertimana ibu kandung.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkahlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” (Surah al-Israa’, ayat 23-24)

Nabi Muhammad SAW menekankan, menderhaka kepada orang tua adalah salah satu dosa besar selepas menyekutukan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Adakah kalian mahu aku beritahu tentang dosa yang besar?”

Para sahabat menjawab: “Kami mahu, ya Rasulullah SAW”. Rasulullah SAW bersabda: “Menyekutukan Allah SWT dan derhaka kepada orang tua.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kehendak ibu mertua dan permintaan suami supaya puan berpantang di rumah ibu mentua adalah permintaan yang tidak bertentangan dengan syarak.

Sebagai menantu dan isteri, puan sewajarnya mematuhi dan meraikan permintaan berkenaan.

Maklum balas dan penerimaan keluarga mentua terhadap puan berbeza dengan sebelum ini menjadi petanda isu keengganan puan menuruti kehendak mereka.

Namun begitu, hak untuk menjalani tempoh berpantang, siapa yang menjaga adalah hak diri puan yang perlu dihormati oleh suami dan keluarga mentua.

Sekiranya isteri tidak sanggup bersabar dan bertahan tinggal di rumah mentua, isteri tidaklah dianggap menderhaka. Oleh itu, dalam masalah dihadapi, puan mempunyai alasan yang dibenarkan syarak untuk tidak bersetuju menjalani pantang di rumah ibu mentua atas alasan kebajikan diri dan keselesaan.

Bagi menghormati dan menjaga hati ibu mentua, sebaiknya puan berjumpa dan memohon maaf kepadanya atas keputusan untuk memilih tinggal bersama ibu kandung.

Walau apa pun penerimaan ibu mentua, sebagai anak puan tetap wajib menghormatinya serta berusaha menjelaskan mengenai keputusan itu.

Puan juga perlu memohon maaf kepada suami. Dosa dan pahala adalah ketentuan Allah SWT. Sebagai isteri dan anak, tugas puan perlulah menjernihkan kembali keadaan dengan memohon maaf dan bertaubat kepada Allah SWT.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 5:00 AM