GAMBAR hiasan. FOTO Saddam Yusoff
Kembara Mukmin

Amalan bersedekah sangat berkait rapat dengan iman seorang Muslim. Setiap sedekah yang diterima di sisi Allah SWT, Dia akan balas dan ‘membayarnya’ di dunia lagi.

Itu janji Allah dalam al-Quran iaitu sesiapa yang bersedekah di jalan Allah, Dia akan ganti semula dengan ganjaran paling sedikit 10 kali ganda pahala manakala paling banyak adalah 700 kali ganda.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Contohnya, ada orang memberi sumbangan atau infaknya untuk pembinaan sebuah masjid. Walaupun nilai yang dilaburkan untuk tujuan itu hanya sebiji batu bata, tetapi Allah SWT akan membalasnya dengan sebuah istana di dalam syurga pada hari akhirat kelak atas kejujuran serta keikhlasannya.

Apabila seseorang mendapat nikmat sedekah, dia tidak kisah lagi berapa wang yang dikeluarkan. Ibnu Abbas apabila membicarakan mengenai sifat dermawan, beliau tidak sebut nama-nama sahabat yang mahsyur seperti Uthman bin ‘Affan, Abdul Rahman bin ‘Auf atau Abu Bakar As-Siddiq, sebaliknya menyebut Rasulullah SAW.

Para sahabat Rasulullah SAW menyatakan, baginda adalah individu paling dermawan berbanding sahabat lain. Rasulullah SAW apabila bersedekah baginda akan memberikan apa sahaja termasuk pada tubuh badannya.

Contohnya, apabila Rasulullah SAW memakai ridak baru lalu ada orang yang tegur, maka nabi akan ambil dan meletakkan ridak itu di atas bahu orang yang bertanya berkenaan.

Para sahabat sangat mengerti perihal itu. Apabila nabi memakai apa sekalipun mereka tidak akan bertanya, puji atau tegur di hadapannya kerana pasti baginda akan memberikan barang itu.

Malah, dalam satu hadis Riwayat Abu Hurairah dinyatakan bagi seorang Muslim yang mantap amalan sedekahnya akan mendapat sanjungan di bumi serta didoakan para malaikat.

Manakala bagi yang kedekut dan kikir, mereka didoakan malaikat dengan kemusnahan. Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada satu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa, Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa, Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan sedekah dan kedekut kemusnahan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, setiap Mukmin perlu yakin amalan bersedekah memiliki keistimewaan yang sangat luar biasa sekiranya ia sentiasa diamalkan dalam hidup mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya, Tuhanku melapangkan rezeki dan menyekatnya kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-Nya; Dan apa sahaja yang kamu berikan, Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi Rezeki yang terbaik.” (Surah Saba’, ayat 34)

Setiap Mukmin juga perlu sentiasa ingat, sedekah paling besar pahalanya adalah apabila dia berada dalam keadaan sihat dan berasa sayang terhadap hartanya, maka pada waktu itu jangan bertangguh lagi untuk bersedekah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 1:25 PM