GAMBAR hiasan.
Suriany Awaludin

Isteri saya bekerja di sebuah syarikat swasta hampir 15 tahun. Baru-baru ini, saya sarankan kepadanya berhenti kerja supaya dapat memberi tumpuan kepada suami dan anak-anak.

Bagaimanapun, dia tetap dengan keputusannya untuk tidak berhenti kerana menyatakan banyak keistimewaan diperoleh daripada syarikat berkenaan.

Saranan saya itu wajar kerana saya mampu menanggung perbelanjaan keluarga dan itulah yang saya lakukan selama ini. Bidang kerjanya menyebabkan dia kerap bertugas di luar kawasan.

Saya berasa kecil hati seolah-olah dia tidak mempedulikan nasihat saya selain merasakan kerjayanya melebihi ketaatan kepada suami.

Seperkara lagi, pergaulannya di pejabat juga agak bebas. Jika dilihat di Facebook banyak komen mesranya bersama rakan sepejabat. Saya akui berasa cemburu terutama apabila dia memuat naik gambar makan bersama rakan lelaki. Adakah betul tindakan saya meminta isteri berhenti atau saya yang terlalu melayan perasaan cemburu?

Suami Penyayang, Cheras

Sejak kedatangan Islam, ramai dalam kalangan wanita atau isteri berketurunan Arab menceburkan diri dalam pelbagai bidang dan menjadi pesaing kepada lelaki.

Bahkan, mereka hampir menyamai lelaki dalam bidang yang diceburi sama ada pendidikan, politik dan pekerjaan. Itu membuktikan Islam bersikap adil dan sederhana serta tidak menghalang kebebasan wanita termasuk isteri dalam urusan dan keperluannya sebagai manusia.

Bagaimanapun, menurut Islam kerja yang dilakukan wanita atau isteri hendaklah memenuhi beberapa etika sebagaimana ditetapkan syarak antaranya:

1. Pekerjaan yang sesuai dengan tabiat, fitrah dan kemampuan wanita sama ada dari sudut pandangan syarak, jasmani atau kejiwaan mereka.

Pekerjaan yang dibenarkan syarak tidak mempunyai unsur haram. Contohnya, kerja sebagai pembantu kepada lelaki bujang, setiausaha khas pengarah atau seumpamanya yang lazimnya mereka berdua-duaan di dalam bilik.

Selain itu, bekerja sebagai penari, pelayan kelab atau pramugari yang kebiasaannya menghidangkan minuman keras kepada penumpang dan dia bermusafir jauh tanpa mahram terutama ke negara Barat atau pekerjaan lain yang diharamkan Islam sama ada dikhususkan untuk wanita atau meliputi lelaki dan wanita.

Apa yang sesuai dengan fitrah, tabiat jasmani dan kejiwaan adalah pekerjaan yang tidak membabitkan bebanan terhadap mereka seperti pemandu bas, juruterbang, membina bangunan dan sebagainya. Namun, pekerjaan itu memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

2. Menjaga adab sebagai wanita Islam apabila keluar bekerja sama ada dari sudut perhiasan, percakapan dan tingkah laku.

Antara adabnya yang perlu dipatuhi adalah menutup aurat, tidak memakai wangian yang membangkitkan berahi, tidak bergaul bebas atau berkhalwat dengan lelaki serta perlu meminta keizinan daripada suami.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.” (Surah al-Nur, ayat 31)

3. Tidak mengabaikan kewajipan terhadap suami dan anak kerana kewajipan itu lebih utama daripada kerja mereka.

Tambahan pula, risiko isteri bekerja ini akan mengurangkan masa bersama suami dan anak-anak.

Isteri perlu bijak membahagikan masa untuk menunaikan tanggungjawabnya terhadap suami dan anak supaya kesejahteraan dan keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan.

Saya percaya setiap pasangan yang sama-sama bekerja dari awal perkahwinan sudah bersedia menerima cabaran dalam berumah tangga.

4. Suami reda menerima isteri yang mempunyai kerjaya.

Pekerjaan isteri selama 15 tahun itu adalah satu tempoh yang lama. Sudah tentu ia menjadi sebahagian kehidupan isteri. Maka, anda perlu pertimbangkan dari setiap aspek dalam usaha menyampaikan arahan atau perintah meminta isteri berhenti kerja.

Apakah kemampuan suami nyatakan itu meliputi segala aspek tanggungan yang isteri tanggung hasil pendapatannya sebelum ini. Apa pula perancangan suami terhadap tanggungan isteri sekiranya ada? Semua itu perlu dijelaskan.

Selain itu, apakah perancangan suami jika isteri tidak lagi mempunyai pendapatan? Suami boleh memberi cadangan atau berbincang bersama isteri apa boleh dilakukan selepas berhenti kerja kelak.

Rutin pekerjaan isteri selama 15 tahun itu pasti memberi tekanan jika dia terpaksa meninggalkan pekerjaan tanpa kerelaannya. Isu tidak puas hati suami berhubung pergaulan isteri dan bidang tugasnya di pejabat tidaklah bertentangan dengan syarak.

Malah, amat digalakkan supaya tingkah laku itu dielakkan kerana dilihat tidak bertepatan dengan ciri-ciri pekerjaan wanita Islam.

Walau bagaimanapun, kaedah penyampaian arahan itu perlulah profesional, teratur dan berhikmah supaya arahan suami dapat disampaikan dan diterima isteri sehingga menyentuh hatinya.

Jika semua itu sudah disampaikan dan isteri masih enggan mematuhinya, isteri itu boleh diisytiharkan nusyuz melalui perintah mahkamah.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 12:47 PM