FOTO Hiasan.
Fadly Samsudin

TIADA sesiapa mahu hidup bergelumang dengan hutang. Hutang sebenarnya berkait rapat dengan cara perbelanjaan seseorang.

Orang yang dibebani hutang tidak berasa tenang dan bebas jika sebahagian besar pendapatannya terpaksa digunakan untuk membayar pelbagai jenis hutang.

Masuk saja gaji, hati serabut melihat baki yang tinggal. Barangkali hanya dapat dibuat belanja untuk beberapa minggu saja sebelum ‘bekalan’ putus.

Apatah lagi bagi mereka yang mengalami perbelanjaan defisit, sudah tentu lebih memeritkan. Hendak tunggu gaji berikutnya adalah waktu paling sukar.

Oleh kerana itu, ada yang sanggup menggadaikan barang kemas dan membuat pinjaman peribadi bagi mendapatkan lebihan wang, namun mereka tetap terus terperangkap dengan hutang.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud: “Berhati-hati dengan hutang, sesungguhnya berhutang itu suatu kesedihan pada malam hari dan kerendahan diri (kehinaan) pada siang hari.”

Tidak dinafikan, kita semua tidak terlepas daripada berhutang. Kebanyakan masyarakat kita biasa berhutang dalam urusan pembelian rumah dan kenderaan.

Dua perkara berkenaan adalah satu keperluan kerana digunakan sebagai tempat berlindung manakala kereta juga begitu penting bagi memudahkan pergerakan.

Kemelut berlaku apabila seseorang berhutang untuk perkara yang bukan menjadi keutamaan atau keperluan dirinya. Akibatnya, ada yang terpaksa melakukan dua kerja bagi membolehkan dia memperoleh pendapatan lebih.

Maka, di situ hilanglah kualiti masa bersama keluarga selain diri juga kurang rehat kerana kebanyakan masa dihabiskan dengan melakukan kerja sampingan.

Berhutang bagi tujuan memuaskan nafsu diri itu hukumnya boleh berubah daripada harus kepada makruh atau haram berdasarkan niat dan keadaan si peminjam.

Perbelanjaan yang ideal adalah dengan cara bersederhana iaitu tidak terlalu bermewah-mewah dan tidak juga terlalu berkira untuk berbelanja.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. ” (Surah al-Israa’, ayat 26 - 27 )

Amalan berhutang adalah sesuatu yang cukup sensitif dan boleh menyebabkan hubungan antara manusia renggang. Ia disebabkan apabila penghutang liat atau culas membayar semula hutangnya.

Walaupun Islam membenarkan berhutang, ia dianjurkan hanya dalam keadaan yang terdesak saja. Selain itu, berhutang juga mendatangkan ‘bahaya ’ sehingga boleh menyebabkan seseorang mengalami tekanan jiwa.

Apabila berada dalam keadaan tertekan memikirkan bebanan hutang, ada yang sukar untuk tidur, fikiran bercelaru dan tidak dapat memberi tumpuan terhadap kerja.

Kita tetap perlu bertanggungjawab ke atas hutang yang kita ‘cipta ’ itu.

Sewaktu hati terlalu sesak memikirkan hutang yang masih belum dijelaskan, amalkan doa yang diajar Nabi SAW iaitu: “Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada dosa dan hutang. ” (Hadis Riwayat Bukhari) Satu lagi doa yang bermaksud: “Ya Allah, cukupkanlah keperluanku berupa yang Engkau halalkan daripada mengambil yang Engkau haramkan dan kayakan hatiku dengan kurnia-Mu daripada (mengharapkan) orang selain Engkau . ”(Hadis Riwayat Tirmizi dan Ahmad)

Bagaimanapun, sekiraranya tidak berdisiplin dalam merencana perbelanjaan ia tetap tidak dapat menyelesaikan masalah.

Berusaha mendisiplinkan diri dengan membayar hutang secara konsisten, tidak membuat hutang baru selagi hutang lapuk tidak diselesaikan serta menjauhkan diri daripada membuat pinjaman along kerana ia ‘menjerat’ peminjam dengan kadar faedah yang membebankan.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 2:00 AM