FOTO Hiasan.
Sedetik Rasa

ABDULLAH bin ‘Amr Radhiyallahu anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran nanti, ‘Bacalah dan naiklah serta tartilan sebagaimana engkau di dunia mentartilnya kerana kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang engkau baca.” (Hadis diriwayatkan Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Hibban dengan sanad hasan)

Berdasarkan hadis itu, ulama menyatakan ada riwayat lain menjelaskan orang itu nanti akan terus membaca satu demi satu ayat al-Quran sehinggalah dia tiba di syurga tertinggi iaitu Syurga Firdaus.

Apabila tiba di Syurga Firdaus barulah dikatakan, “Berhentilah, ini adalah kedudukan kamu di akhir ayat yang kamu baca.”

Itu kehebatan dan kedudukan bagi golongan yang membaca al-Quran sebagai rutin hariannya. Maka, bacalah al-Quran pada setiap hari walaupun beberapa ayat.

Jangan biarkan waktu kosong dibiarkan tanpa membuat sebarang perkara bermanfaat. Tidak kira walau di mana kita berada misalnya, ketika sedang menunggu lampu isyarat, gunakan peluang beberapa minit itu untuk membaca surah mudah yang kita hafal.

Siapa yang mengerjakan satu kebaikan yang diniatkan semata-mata kerana Allah SWT, paling sedikit dia akan mendapat 10 pahala.

Membaca al-Quran itu bukan dikira selepas membaca keseluruhan ayat atau surah, tetapi setiap huruf itu ganjarannya 10 pahala.

Abdullah bin Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Sunan Tirmizi)

Bagi mereka yang masih kurang lancar atau bacaan seringkali tersangkut-sangkut, jangan bimbang teruskan membaca al-Quran kerana Nabi SAW memberikan motivasi dengan menyatakan, golongan itu akan mendapat dua kali pahala berbanding orang yang lancar.

Aisyah menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang membaca al-Quran dan menjaganya (membacanya dengan betul dan mengamalkannya) akan bersama para malaikat yang mulia. Adapun orang yang membaca al-Quran dengan sungguh-sungguh dan mengalami kesulitan, dia akan mendapat dua pahala.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

Ulama menyatakan, dua pahala yang diperoleh itu, satu untuk bacaannya manakala satu pahala lagi kesusahannya ketika membaca.

Jiwa orang yang sering berdamping dengan al-Quran juga akan sentiasa tenang dan lapang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah arRa'd, ayat 28)

Selain itu, rumah yang di dalamnya dibaca al-Quran akan diberkati selain malaikat turut memenuhi rumah berkenaan.

Begitu juga seorang Muslim yang baring di tempat tidurnya dengan membaca salah satu surah al-Quran, Allah SWT akan tugaskan satu malaikat menjaganya dan tidak ada satu bahaya pun akan mendekatinya sehingga dia terjaga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 1:49 AM