FOTO Hiasan.
Kembara Mukmin

ALLAH SWT mengurniakan manusia pelbagai nikmat di dunia ini. Nikmat harta misalnya, diberikan Allah SWT bagi menjamin kepentingan manusia supaya mereka dapat hidup dengan baik dan sempurna.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan, sesungguhnya Allah memudahkan untuk kepentinganmu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan batin.” (Surah al-Luqman, ayat 20)

Manusia hanya sebagai pemegang amanah saja. Mereka bertanggungjawab menggunakan harta itu sesuai dengan konsep harta berkenaan menurut ajaran Islam.

Setiap Muslim diajar bahawa harta dan segala nikmat yang dikecapi itu adalah sebahagian ujian dan cubaan buat mereka. Ujian paling berat adalah bagaimana seseorang itu sanggup berkorban untuk ‘berpisah’ dengan harta yang disayanginya sematamata untuk menunaikan kefarduan berzakat.

Walaupun jumlah zakat yang perlu dilunaskan cuma 2.5 peratus daripada harta yang wajib dizakatkan, ia tetap menimbulkan rasa berat di hati untuk menjelaskannya.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, ada dalam kalangan umat Islam cuba membelakangkan kefarduan rukun Islam ketiga itu sehingga Saidina Abu Bakar memerangi mereka.

Sememangnya pelbagai ragam yang dapat dilihat dalam masyarakat kita.

Ada golongan bercita-cita untuk membayar zakat manakala ada juga pihak yang ‘berusaha’ mencipta pelbagai alasan supaya dapat mengelak diri daripada membayar zakat.

Ada yang merasakan membayar zakat itu sebagai bebanan menyebabkan harta akan berkurangan. Tidak kurang juga yang berpendapat pembayaran zakat sebagai hak peribadi dan terpulang kepada mereka untuk mematuhinya ataupun tidak.

Ada juga menganggap membayar zakat umpama sedekah sedangkan berzakat, sedekah dan hadiah itu berbeza dari segi hukumnya.

Tidak kurang juga ramai yang beranggapan kefarduan berzakat terlunas selepas mereka membayar zakat fitrah. Mereka membayangkan kefarduan zakat lain seperti zakat gaji, wang simpanan, perniagaan, pertanian, emas dan perak itu tidak wujud.

Zakat sebenarnya diwajibkan bertujuan melindungi serta menjamin pembangunan ummah. Allah SWT mengingatkan umat Islam supaya bersegera menunaikan kewajipan berzakat sebelum mati.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (zakat/ sedekah) sebahagiannya daripada harta yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut. Kamu akan menyesal dan bermohon kepada Allah: ‘Wahai Tuhanku, alangkah baiknya kalau dilambatkan kematianku ini walaupun seketika supaya aku dapat berzakat/bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang yang soleh.’” (Surah al-Munafiqun, ayat 10)

Zakat bukan bertujuan untuk ‘melonggokkan’ harta tetapi akan diagihkan kepada pihak yang layak menerimanya. Bantuan yang diterima kelak bukan untuk melepaskan keperluan golongan asnaf bersifat jangka pendek, sementara atau memberikan bantuan itu pada setiap masa.

Ia juga berfungsi memberi peluang kepada si penerima yang layak seperti mendapatkan modal untuk berniaga supaya mereka dapat meningkatkan pendapatan keluarga.

Selepas keperluan itu tertunai, ia akan mewujudkan masyarakat yang berkasih sayang selain menyumbang kepada nilai positif termasuk kemajuan dan keberkatan dalam hidup seseorang Mukmin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 1:30 AM