PENGERUSI Jawatankuasa Selamatkan Seafield Kuil Sri Maha Mariamman, S. Ramaji (tengah) ketika sidang media berhubung rusuhan yang terjadi awal pagi tadi di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25. FOTO Saddam Yusoff
Dr Nurkhamimi Zainuddin

PERBAHASAN mengenai kedudukan bukan Islam memperlihatkan keterbukaan Islam meraikan kewujudan manusia yang berbeza dari sudut keagamaan.

Elemen kepelbagaian itu adalah program unik ciptaan Allah sebagai satu bentuk aturan dan ketentuan yang ditetapkan berlaku kepada manusia.

Hak dan kepentingan penganut agama lain tetap diraikan atas kapasiti mereka sebagai warganegara yang sah.

Pelunasan hak itu dilihat sebagai elemen penting yang mampu mengharmonikan hubungan antara bangsa dan agama di negara ini.

Walau bagaimanapun, masih timbul percubaan untuk menuntut dan mempertikaikan hak tertentu atas nama keadilan dan kebebasan asasi.

Keadaan menjadi semakin keruh apabila persoalan perkauman turut mengheret isu keagamaan memandangkan sesuatu kaum di Malaysia kebiasaannya disinonimkan dengan agama tertentu.

Maka, keharmonian yang dipupuk sejak sekian lama dilihat semakin terhakis disebabkan peranan pihak tidak bertanggungjawab yang gemar memanipulasi pelbagai isu bagi kepentingan sendiri.

Sekiranya tidak diberi perhatian, situasi itu boleh membawa bibit perpecahan yang bakal meruntuhkan benteng keharmonian dan perpaduan dibina selama ini.

Mengambil isu rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, persoalan yang berlegar dalam pemikiran umum berkisar terhadap ketenteraman awam, kestabilan masyarakat dan hubungan antara kaum.

Jika melihat kembali lipatan sirah, Rasulullah SAW memberikan contoh mulia dengan menguatkuasakan sistem perlembagaan bagi mengatur perjalanan politik dan sosial masyarakat Madinah.

Dokumen itu dinamakan Piagam Madinah mengandungi beberapa fasal yang membicarakan peruntukan taraf kewarganegaraan, hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi seluruh rakyat.

Konsep hak asasi manusia dalam Islam merujuk kepada hak yang dikurniakan Allah SWT sebagai pencipta. Pada peringkat awal, sistem kewarganegaraan di Madinah ditentukan berdasarkan konsep ummah di mana umat Islam bersama-sama kaum Yahudi Bani ‘Auf diiktiraf sebagai warganegara Madinah yang sah.

Hal itu kerana Madinah menghimpunkan tiga kelompok besar masyarakat mempunyai tradisi tersendiri iaitu umat Islam (Ansar dan Muhajirin), Yahudi (Bani Nadir, Bani Quraizah dan Bani Qainuqa’) serta musyrikin.

Penduduk Madinah ketika itu dianggarkan sekitar 5,000 hingga 10,000 orang. Kelompok Yahudi jumlahnya hampir separuh daripada bilangan itu.

Pemerintah hari ini sewajarnya berusaha membawa perubahan terhadap perbahasan isu serta hukum berkaitan kenegaraan dan kewarganegaraan.

Islam menetapkan peruntukan khusus berkaitan hak kewarganegaraan meliputi semua pihak meskipun berlainan agama. Islam juga melarang sebarang bentuk pencerobohan dan pelanggaran terhadap hak mana-mana individu yang dijamin dalam Islam.

Firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 9 bermaksud: “Dan sekira-

nya sekumpulan manusia itu menindas kumpulan yang lain maka perangilah orang-orang yang menganiaya itu sehingga mereka kembali mengikut perintah Allah.”

Islam tidak menjadikan perbezaan agama sebagai faktor mempengaruhi pembinaan dasar itu.

Golongan bukan Islam turut diraikan serta diletakkan pada tempat sewajarnya selaras dengan kedudukan mereka sebagai manusia.

Keperluan untuk mengharmonikan masyarakat Madinah yang dilatari kepelbagaian agama dan etnik ketika itu menjadi tugasan penting pertama yang perlu diselesaikan oleh Baginda.

Dari sudut lain, Islam turut menjamin hak golongan bukan Islam di mana mereka turut memperoleh hak sama sebagaimana orang Islam.

Antara hak kebebasan paling penting dalam menerajui prinsip itu adalah berkaitan kebebasan beragama.

Islam memberikan kebebasan kepada setiap warga bukan Islam menganut dan mengamalkan ajaran mereka tanpa sebarang paksaan untuk menukarnya kepada agama Islam.

Sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 256: “Tiada paksaan dalam agama. Sesungguhnya jelas jalan yang benar daripada jalan yang batil.”

Selain itu, bukan Islam diberikan kebebasan berfikir dan mengeluarkan pandangan. Namun, kebebasan itu tidak bersifat mutlak sebaliknya perlu diterima dengan penuh tanggungjawab serta tidak disertai pembohongan, fitnah, propaganda dan subversif.

Firman Allah dalam Surah al-Nisa’, ayat 83 bermaksud: “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan dan kecemasan, mereka terus menghebahbahkannya. Dan sekiranya mereka kembalikan sahaja urusan itu kepada Rasul dan para pemimpin di antara mereka, pasti urusan itu dapat diketahui oleh orang-orang layak mengambil keputusan mengenainya.”

Penulis Timbalan Pengarah GOAL ITQAN, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 1:31 AM