FOTO Hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

AGAMA memainkan peranan sangat penting dalam kehidupan manusia. Seseorang yang berpegang teguh kepada agama semestinya akan mengajak manusia kepada kedamaian, mempromosikan keselamatan dan keamanan.

Tidak mungkin agama menganjurkan kepada perbalahan dan persengketaan sesama manusia. Allah SWT mencipta manusia supaya saling mengenali dan mengasihi sesama mereka.

Seseorang yang berpegang kepada agama juga akan sentiasa meletakkan kemanusiaan sebagai keutamaan. Tidak mungkin seseorang yang berpegang kepada ajaran agama mudah bertindak ganas dan melampau.

Tokoh agama Buddha, Dalai Lama menyifatkan seorang pengamal agama tulen tidak akan terbabit dalam keganasan dan pertumpahan darah. Keganasan yang berlaku tiada kaitan dengan agama. Ini bermakna tidak ada keganasan dalam agama kecuali mereka menggunakan agama demi memenuhi kepentingan mereka sama ada dari sudut politik, kemasyarakatan, ekonomi dan lain-lain.

Islam tidak mengajar umatnya melakukan keganasan. Keganasan dilakukan atau dikaitkan dengan individu yang mengaku beragama Islam atau menggunakan nama Tuhan seperti menyebut nama Allah atau laungan Allahu Akhbar (Allah Maha Besar) hanyalah taktik untuk mewajarkan perbuatan ganas mereka atas nama Islam.

Perbuatan seumpama itu jelas menyebabkan orang bukan Islam mengaitkan Islam sebagai agama keganasan, sedangkan Islam agama kesejahteraan yang menganjurkan kepada kedamaian, keselamatan dan mengajak manusia hidup dalam keadaan harmoni.

Perbuatan seumpama itulah menyebabkan Islam menjadi agama yang sangat ditakuti dan terus menjauhkan orang bukan Islam mengenali agama suci ini.

Sindrom Islamofobia menyebabkan terbinanya sikap kebencian dalam kalangan masyarakat umum sehingga membuat kesimpulan tidak adil terhadap Islam iaitu menyamakan Islam dengan kekejaman, keganasan dan bersikap radikal.

Lebih menyedihkan lagi, terdapat kumpulan menggunakan nama Islam turut menyumbang kepada perkembangan tidak benar mengenai agama Islam.

Sepatutnya mereka bertindak supaya Islam menjadi agenda utama, bukannya menggunakan Islam untuk kepentingan kumpulan atau individu tertentu.

Islam mesti dicerminkan sebagai agama yang mudah didekati, bukannya ditakuti. Prinsip Islam mengenai keinsanan dan hubungan kemanusiaan cukup jelas. Asas perhubungan manusia adalah ramah, kasih sayang, toleransi, kebaikan, keharmonian. Islam juga menuntut manusia supaya saling kenal-mengenali, hormat- menghormati dan tolong- menolong.

Islam sama sekali menolak sikap kebencian sesama manusia.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan dan menerangkan

kebenaran demi Allah. Janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu melakukan ketidakadilan….”

Rasulullah SAW mempamerkan contoh teladan terbaik dalam menghadapi perbezaan pendapat dan tindakan. Baginda tidak pernah berdoa untuk kebinasaan dan kehancuran buat musuh yang membencinya atau menolak Islam.

Nabi Muhammad SAW mengutamakan kemaslahatan masyarakat dan orang ramai berbanding kepentingan individu. Islam mementingkan soal keadilan dan kesaksamaan setiap manusia.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 2:06 AM