FOTO Hiasan.
Fadly Samsudin

SETIAP ibu bapa terutamanya yang bakal menimang cahaya mata buat kali pertama, sudah pasti begitu teruja membuat pelbagai persiapan untuk menyambut kelahiran anak mereka.

Sudah tentu beberapa nama sudah dipertimbangkan untuk diberikan kepada anak sama ada yang bakal lahir itu seorang putera atau puteri.

Dikurniakan zuriat dan nasab antara nikmat terbesar Allah SWT berikan selepas nikmat iman. Anak itu kelak akan mewarisi dan menyambung kehidupan ibu bapa mereka daripada satu generasi ke generasi sehinggalah sampai hari kiamat.

Dalam pemilihan nama anak, sebaiknya ibu bapa meneliti nama itu dari segi lafaz dan baik maknanya menurut Islam.

Nama yang diberikan kepada anak pada hari ini akan kekal dan nama sama juga akan dipanggil di padang mahsyar ketika menerima buku amalan daripada malaikat Kiraman Katibin.

Oleh itu perlu memberi nama yang baik kepada anak. Dalam satu hadis daripada Abu Darda’, katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat kelak dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Paling baik menggunakan bahasa Arab kerana ia adalah bahasa al-Quran. Selain itu, ia juga bahasa yang dituturkan Nabi SAW serta menjadi bahasa di syurga kelak.

Namun hati-hati kerana ada nama dalam bahasa Arab yang membawa maksud buruk. Sebab itu, sesebelum menamakan anak, kita perlu siapkan diri dengan ilmu.

Ini kerana kita pernah terdengar nama yang boleh menyebabkan syirik, nama berunsur maksiat dan pelik didengar.

Daripada Abu Wahb alJusyami, katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Namakanlah (sesiapa dalam kalangan kamu) nama-nama para nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdur-Rahman, nama yang paling benar ialah Harith (yang berusaha) dan Hammam (yang bersemangat tinggi dalam melakukan kebaikan) dan nama paling buruk iaitu Harb (perang) dan Murrah (buruk).” (Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i)

Di dalam Ensiklopedia Nama-Nama Anak ditulis Dr Muhammad Fauzi Yusuf dan Sabariah Bakri menerangkan, antara nama membawa maksud dosa besar adalah seperti zina, khamar atau ghibah.

Selain itu, nama bermaksud orang-orang melakukan dosa-dosa besar termasuk Zani (penzina lelaki), ‘Asiyah (wanita jahat) Zaniah (penzina perempuan) dan Wati yang biasa diberikan kepada perempuan tetapi membawa maksud lelaki yang bersetubuh.

Disebabkan ramai ibu bapa tidak berpeluang mempelajari bahasa Arab, maka berlaku kesalahan tatabahasa, makna atau ejaan ketika memilih nama anak.

Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita menggabungkan nama anak sehingga menjadi terlalu panjang serta membawa maksud tidak sesuai.

Penting sekali sekiranya kita mengetahui ada nama dalam kalangan ahli keluarga atau sahabat yang mempunyai maksud tidak baik atau dilarang Islam, maka perlu mengemukakan permohonan menukar nama berkenaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Rasulullah SAW sangat menitikberatkan perihal menamakan anak sehingga Baginda pernah menukar nama yang bercanggah dengan Islam dalam kalangan keluarga dan sahabat.

Seperti diriwayatkan daripada Sa’id al-Musayyab, daripada ayahnya (al-Musayyab) daripada datuknya (Hazn bin Abd Wahb) bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya bermaksud: “Siapakah nama kamu?” Dia menjawab, “Hazn (kesusahan).” Baginda bersabda: “Kamu Sahl (kesenangan).”

Abu Daud berkata, Nabi SAW menukar nama al’Asi (yang melakukan maksiat), Aziz (yang perkasa), ‘Atalah (keras dan kasar), Syaitan, al-Hakam (pengangadil), Ghurab (jauh) dan Hubab (nama syaitan). Baginda menukar nama Syihab (nyalaan api) kepada Hisyam (pemurah), Harb (peperangan) kepada Salm (perdamaian), al-Muadtaji’ (yang berbaring) kepada al-Munba’ith (yang bangkit), Tanah ‘Afirah (tandus) kepada Khadirah (subur), bangsa Dalalah (kesesatan) kepada Hidayah (petunjuk), Bani Zinyah (penzinaan) kepada Bani al-Risydah (anak keturunan baik) dan bangsa Mughwiah (menyesatkan) kepada bangsa Risydah (diberi petunjuk). (Riwayat Abu Daud)

Antara panduan serta syarat menamakan anak berpandukan buku Ensiklopedia Nama-Nama Anak ialah setiap ibu bapa perlu memilih nama yang mempunyai maksud baik seperti nama Allah SWT (Al-Asma’ul husna), nama nabi, nama syurga dan ulama.

Bagaimanapun, jika menamakan anak dengan nama Allah, perlulah menambah perkataan Abdul yang membawa maksud hamba.

Pastikan nama yang diberikan kepada anak diniatkan semata-mata kerana Allah SWT dan mengikut sunah Nabi SAW, bukannya untuk tujuan riyak atau menunjuk-nunjuk.

Berikan nama yang mudah disebut, bukannya sekadar sedap didengar saja. Sebab itu, ibu bapa yang kurang pasti kesahihan makna nama anak terutama yang diperoleh daripada Internet atau buku yang berada di pasaran perlu bertanya kepada ilmuwan atau ustaz yang mahir dalam bahasa Arab bagi mendapat kepastian.

Ini termasuk jika ada ibu bapa yang ingin mendapatkan maksud serta kesesuaian nama lebih daripada satu perkataan (digabung).

Contoh gabungan nama yang baik untuk anak lelaki adalah seperti Fattah Amin bermaksud pembuka amanah atau Badri Najib (bulanku yang mulia).

Nama bagi perempuan pula antaranya Badriyyah Syafiqah bermaksud bulan purnama yang penuh dengan belas kasihan atau Khalisah Hasanah (yang suci lagi baik).

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 2:00 AM