FOTO Hiasan.
Hilmi Isa

DARIPADA Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisiNya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Mempunyai harta adalah satu kelebihan kerana mampu berbakti dengannya. Dari sudut lain, mempunyai harta memerlukan kita menjaganya.

Banyak kisah orang yang menjadi ‘kaya segera’ hilang hartanya dalam keadaan yang memalukan. Sebaliknya jika mempunyai ilmu, ia akan menjaga kita dari pelbagai sudut sebagaimana yang termaktub dalam maqasid syariah (tujuan syarak) iaitu untuk menjaga agama, nyawa, akal, harta dan keturunan kita.

Dengan ilmu, ia akan menjaga kita daripada melakukan perkara dimurkai Allah SWT. Ilmu syariah membuatkan kita lebih mengetahui mengenai kehidupan yang diredai Allah SWT. Kehidupan di dunia ini sementara saja kerana kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Ilmu juga akan menjaga keselamatan diri manusia terutamanya dalam kehidupan zaman ini yang penuh cabaran termasuk masalah jenayah yang membahayakan sehingga membabitkan nyawa.

Banyak video di laman sosial memaparkan kes jenayah penipuan kewangan berlaku. Antaranya, ada seorang scammer mengaku dia mampu memperoleh RM200,000 sehari hasil penipuan dilakukan.

Seterusnya, ilmu juga memandu kita dalam mendepani kehidupan yang penuh cabaran. Dalam alam rumah tangga, bukan senang untuk memahami dan membentuk pasangan. Begitu juga tugas mendidik anak bukanlah tugas mudah. Tanpa ilmu yang mantap, kita pasti akan tersungkur.

Justeru, tanamkan dalam diri anak supaya apabila mereka pergi ke sekolah bukan kerana ingin mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan semata-mata, tetapi mereka perlu diberi penekanan dalam hal berhubung sahsiah diri.

Kita mahu lahirkan seorang anak cemerlang bukan setakat dilihat hebat menaiki pentas ketika sambutan hari kecemerlangan sekolah, tetapi sahsiah diri juga turut membanggakan.

Tiada gunanya pendidikan yang gagal membentuk peribadi. Apabila menjadi seorang pekerja kelak, dia mampu menjadi pekerja yang amanah, memiliki sifat kejujuran dan ketelusan.

Daripada Abu Darda, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana reda kepada penuntut ilmu. Penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air mendoakan keampunan kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya, keutamaan seorang alim dibandingkan dengan seorang ahli ibadat adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barang siapa mengambilnya, maka dia mengambil bahagian yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 1:31 AM