FOTO Hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

NABI Muhammad SAW adalah pemimpin agung sepanjang zaman. Baginda diutuskan sebagai seorang nabi dan rasul bukan untuk bangsa Arab semata-mata, tetapi buat seluruh makhluk Allah SWT di alam ini. Baginda bukan saja seorang negarawan terunggul, pahlawan hebat dan ahli politik agung, bahkan seorang suami dan bapa yang penyayang.

Pengarang dari Barat, Michael H Hart meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia pada kedudukan paling teratas dan berpengaruh dalam bukunya berjudul 100 Most Influential People In The World

Manusia perlu mencontohi setiap yang ada pada diri Rasulullah SAW sebagai sumber inspirasi dalam menjalani kehidupan demi kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (sewaktu susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Baginda mempamerkan adab dan kesopanan dalam interaksinya sesama manusia, tidak kira sama ada kawan atau lawan, bangsa dan keturunan. Rasulullah SAW juga menghiasi dirinya dengan pelbagai sifat mulia seperti amanah, berani, menetapi janji, ramah, sabar, jujur dan berjiwa bersih.

Malah, sejak kecil lagi sebelum diutuskan sebagai nabi dan rasul, Baginda sudah mempamerkan sifat jujur dan amanah sehinggakan Baginda mendapat kepercayaan masyarakat Quraisy dan diberikan gelaran ‘al-Amin’.

Ibnu Qayyim menyatakan, Nabi Muhammad SAW menggabungkan sifat takwa kepada Allah dan sifat luhur. Sifat takwa dalam memperbaiki hubungan antara seorang hamba dan Allah SWT. Sementara berakhlak mulia dalam memperbaiki hubungannya sesama makhluk Allah SWT.

Ini bermakna, takwa kepada Allah SWT akan melahirkan seorang manusia yang taat kepada dan memiliki akhlak dalam hubungan dengan Allah SWT, manusia, haiwan dan alam seluruhnya.

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada isteri Nabi Muhammad SAW, Aisyah mengenai akhlaknya. Aisyah menjawab: “Akhlak Nabi SAW adalah al-Quran.” (Riwayat Muslim)

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qalam, ayat 4 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang tinggi (mulia).” Rasulullah berurusan dengan pelbagai ragam, perangai dan sikap manusia dalam usahanya untuk menyampaikan dakwah Islam.

Ada yang menerima dengan mudah dan tidak kurang juga mereka tidak mahu mendengar, malah melawan dengan pelbagai tentangan secara fizikal dan emosi.

Bagaimanapun, Allah SWT mendidik dan menyeru Rasulullah SAW supaya sentiasa bertolak ansur dengan mereka selain memohon keampunan buat mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW ini bukan hanya untuk dibaca atau didengarkan saja setiap kali sambutan kelahiran Baginda, tetapi untuk dijadikan contoh dalam kehidupan kita.

Bagi umat Islam yang mengaku sayangkan Nabi, pastinya mereka akan mengikut ajaran yang dibawa Baginda.

Kita bukan saja solat sebagaimana Nabi, tetapi perlu juga berakhlak sebagaimana akhlak Baginda demi mengangkat imej Islam.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 1:30 AM