HARTA kekayaan adalah satu ujian buat manusia. FOTO AFP
Mohd Shahrizal Nasir

Ada golongan manusia yang taat, tetapi dia hidup dalam kesempitan manakala ada pula golongan bergelumang dosa, namun memperoleh nikmat kesenangan.

Allah SWT berkuasa melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!”, maka jadilah sesuatu itu.” (Surah Yasin, ayat 82)

Sebagai hamba yang taat, setiap ketentuan Allah pastinya diterima dengan penuh keredaan. Kewajipan sebagai seorang Muslim mesti diteruskan meskipun terdapat harapan dan impian yang masih belum dimakbulkan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila para hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Dalam kalangan kita ada yang diuji dengan pelbagai pemberian nikmat, namun dirinya terus bergelumang maksiat serta melanggar perintah Allah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat pertolongan).” (Surah al-An’am, ayat 44)

Itulah yang dinamakan istidraj. Pemberian itu sebenarnya tidak diredai Allah SWT. Manusia yang diuji dengan istidraj akan memperoleh pelbagai nikmat dunia sama ada dalam bentuk kekayaan, kejayaan, pangkat dan gelaran, pengiktirafan dan sanjungan.

Namun semua itu tidak menjadikan mereka hamba-Nya yang bersyukur, sebaliknya terus jauh daripada Allah SWT. Mereka menyangka Allah SWT memberi segala-galanya meskipun mereka ingkar kepada-Nya.

Golongan yang diuji dengan istidraj kadangkala angkuh mengatakan: “Tengok aku tak solat, tetapi masih dapat naik pangkat,” “Engkau sentiasa ke masjid, tapi aku juga berjaya dalam peperiksaan”, “Tanpa restu ibu bapa, aku masih berjaya memperoleh apa yang dihajati.”

Semua contoh ungkapan itu adalah petanda ujian istidraj. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat bahawa Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah orang itu menerima istidraj daripada Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Lihat bagaimana Fir’aun yang memiliki segala nikmat dunia menyebabkan dirinya angkuh sehingga mengaku sebagai tuhan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Fir’aun pula berkata: Wahai pengikutku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang Tuhan yang lain daripadaku. Oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata serta binalah untukku bangunan yang tinggi supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu) dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa daripada orang yang berdusta.” (Surah al-Qasas, ayat 38)

Bagaimana kesudahan hidup Fir’aun? Segala nikmat yang diperolehnya langsung tidak memberi sebarang manfaat, sebaliknya Allah SWT membinasakannya dalam keadaan sangat hina.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dengan sebab itu Kami mengepungnya (Fir’aun) bersama-sama tenteranya serta Kami humban mereka ke dalam laut, maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang yang zalim.” (Surah al-Qasas, ayat 40)

Begitu juga bagaimana Allah SWT menguji hamba-Nya dengan nikmat dunia yang menjadikannya jauh daripada rahmat dan kasih sayang-Nya.

Istidraj bukan saja boleh berlaku kepada hamba-Nya yang tidak beriman, malah boleh terjadi kepada golongan yang tidak berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Allah menyatakan kepada Rasulullah SAW menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam, ayat 44)

Justeru, jangan persiakan setiap nikmat yang diterima dengan perlakuan mengundang kemurkaan Allah SWT. Bagi yang sedang diuji dengan kesempitan hidup, yakinlah nikmat Allah SWT akan datang dalam pelbagai bentuk kerana Allah tidak sesekali menzalimi hamba-Nya yang beriman.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 11:08 AM