GAMBAR hiasan. FOTO Yazit Razali
AL-FIQH

1. Apakah hukum jika dikebumikan jenazah bersama pakaiannya dan diletakkan bantal di bahagian kepalanya atau diletakkan hamparan di dalam kuburnya?

Hukumnya adalah makruh dan tidaklah diharamkan kerana ada tujuan yang diharuskan oleh syarak iaitu memuliakan jenazah seperti diharuskan membuat peti keranda untuknya jika tidak perlu kepadanya sekalipun.

Jika keadaan memerlukannya seperti tanah di sekitarnya berair atau tanahnya tersangat kering berpasir, maka tidaklah makruh, bahkan digalakkan membuat peti keranda untuknya dan ditanam bersama dengan jenazahnya.

2. Jenazah lebih afdal dikebumikan di tanah perkuburan daripada dikebumikan di rumah sendiri yang hukumnya adalah makruh. Melainkan kerana hajat dan keperluan atau kerana ada maslahah.

Jika hukumnya makruh, kenapa Rasulullah SAW dikebumikan di dalam rumahnya? Begitu juga dengan orang yang mati syahid dikebumikan di tempat dia meninggal dunia dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain walaupun hampir dengan Makkah sekalipun?

Jenazah afdal dikebumikan di tanah perkuburan (yang dikhususkan) bertujuan supaya doa orang Islam yang menziarahinya atau orang yang lalu lalang berhampiran dengannya dengan mudah sampai kepadanya.

Jika jenazah itu dikebumikan di dalam rumahnya, maka luputlah fadilat dan kelebihan seperti yang dinyatakan. Adapun bagi Rasulullah SAW dikebumikan di dalam rumahnya kerana Baginda adalah satu keistimewaan ke atas nabi dan rasul saja.

Orang yang mati syahid di medan perang pula hendaklah dikebumikan di tempat di mana dia meninggal dunia dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain.

Jika kawasan perkuburan itu dirampas orang kafir misalnya atau dibeli oleh orang yang zalim dengan menggunakan wang haram, maka pada ketika itu tidak lagi dihukum makruh jika jenazah dikebumikan di dalam rumahnya. Demikian mengikut pendapat Syeikh Azra’i.

3. Sunat dijirus air di atas kubur selepas tanah ditimbus. Bagaimana jika tanah itu basah kerana hujan? Adakah masih disunatkan untuk dijirus juga ataupun tidak.

Bagaimana pula jika air yang digunakan untuk menyiram kubur itu air mawar atau air mutanajjis atau air musta’mal? Apakah hukumnya?

Mengikut pendapat Syeikh Ibn Hajar, sunat disiram juga walaupun tanah itu sudah basah kerana hujan. Jika digunakan air mawar untuk menyiram kubur hukumnya makruh dan tidaklah diharamkan kerana memuliakan mayat walaupun ada unsur pembaziran sekalipun kerana ada tujuan yang diharuskan syarak. Jika sekiranya menggunakan air mutanajjis, maka hukumnya haram. Ada pun air musta’mal itu adalah khilaf ulama.

Sumber: Furu’ al-Masa’il Wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud Abdullah al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 1:02 AM