GAMBAR hiasan. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Hilmi Isa

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap jiwa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali Imran, ayat 185)

Setiap makhluk hidup di dunia ini pasti bertemu dengan kematian. Tiada suatu makhluk pun hidup di dunia ini selama-lamanya. Bezanya hanyalah ada sesetengah orang umurnya pendek dan sesetengah yang lain pula Allah SWT mengurniakannya usia yang panjang.

Tiada suatu makhluk pun tahu secara tepat mengenai waktu kematiannya. Hanya sesetengah orang alim diberi gerak hati bahawa kematian semakin menghampiri mereka, itupun ketika muda mereka sendiri tidak tahu secara tepat waktu kematiannya.

Orang muda sentiasa menganggap diri mereka muda lagi. Masih boleh berseronok kerana mereka ingat masih mempunyai masa yang panjang untuk bertaubat.

Bagi mereka apabila mencapai usia tua, barulah mula menjejakkan kaki ke masjid. Maka habis segala hukum-hakam agama dilanggar. Solat tidak dikerjakan.

Ketika puasa pada bulan Ramadan mereka makan secara sorok-sorok. Berkonvoi hingga ke negara jiran dan pernah melanggan pelacur di sana. Kebanyakan orang menjangka mereka akan hidup sekurang-kurangnya selama 60 tahun. Sembang mereka, nanti apabila sudah pencen, barulah hendak mengerjakan ibadat umrah, hendak berkebun di keliling rumah dan pelbagai lagi perancangan selepas alam persaraan.

Malangnya, dalam dunia yang penuh dengan penyakit ini, lebih ramai orang akan mati awal. Anak masih kecil dan bersekolah, ada yang kehilangan ayah akibat menghidap pelbagai penyakit kronik.

Ada juga sebahagian yang lain meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika pergi atau pulang dari tempat kerja.

Perjalanan kita di alam barzakh nanti sebenarnya amat panjang. Jika banyak melakukan amalan kebaikan ketika hayatnya di dunia, amal itulah yang akan melindungi diri kita kelak.

Jika hanya pada penghujung usia baru hendak membuat amal, dibimbangi kita tidak mampu membawa bekalan yang cukup untuk melalui satu perjalanan yang panjang.

Ibarat kita pergi ke pasar raya, kita mungkin hanya membawa wang saja. Tetapi untuk menempuh perjalanan jauh, pastinya kita akan membawa sekali bekalan makanan, pakaian dan wang yang diperlukan.

Kematian adalah satu motivasi yang hebat. Dengan mengingati kematian, seorang Muslim tidak akan berbuat sesuka hati mereka.

Apabila ingin melakukan sebarang tindakan, dia akan ingat setiap perkara yang dilakukan itu pasti akan mendapat pembalasan. Jika tindakannya baik, maka balasannya juga akan baik.

Begitulah sebaliknya jika buruk tindakannya, maka buruk balasan yang akan diterima. Siapa yang tidak inginkan balasan baik?

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia pun sebelum kamu (Muhammad), maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal? Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kami kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya, ayat 34-35)

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 10:13 PM