MANUSIA patut mencontohi kegigihan burung mencari rezeki.
Datuk Dr Zahazan Mohamed

Adakah kita perlu bertawakal dahulu baru berusaha atau usaha dahulu kemudian bertawakal? Saya pernah dengar kita perlu bertawakal seperti burung. Apakah maksud bertawakal seperti burung itu?

Fikri, Kota Damansara

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal (menyerah diri).” (Surah al-‘Imran, ayat 122)

Tawakal adalah menyandarkan hati kepada Allah SWT untuk memperoleh pelbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan dunia mahupun akhirat selain menyerahkan semua urusan kepada-Nya, meyakini sebenar-benarnya tidak ada yang memberi, menghalang, mendatangkan bahaya dan manfaat kecuali Allah SWT.

Perkara itu dinyatakan Ibnu Rajab dalam kitab Jami’ul Ulum wal Hikam. Contohnya, seorang pelajar tidak membuat sebarang persiapan untuk menghadapi peperiksaan, namun menjelang hari peperiksaan pelajar itu berkata, saya bertawakal kepada Allah.

Hakikatnya, dia salah memahami makna tawakal. Tawakal perlu disertakan dengan usaha kerana ia bukan hanya perlu pasrah atau menyandarkan hati kepada Allah SWT semata-mata.

Mungkin ada orang berhujah, tidak perlu berusaha tetapi perlu pasrah kepada Allah sebagaimana tawakal burung. Hadis yang dimaksudkan itu adalah hadis riwayat at-Tirmizi daripada Umar bin al-Khatab.

Beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kamu seperti memberi rezeki kepada burung. Mereka pergi pagi hari dengan perut kosong dan pulang pada petang hari dengan perut kenyang.”

Burung sebenarnya tidak bermalasan atau hanya duduk di dalam sarangnya. Ia akan terbang mencari makanan. Bagaimanapun, kita perlu ingat, bukanlah usaha semata-mata yang memberi rezeki tetapi yang memberi rezeki itu adalah Allah SWT.

Jelas di sini, tawakal bukan meninggalkan usaha tetapi hendaklah melakukan pelbagai usaha yang membawa hasil dicita-citakan kerana burung pun tetap berusaha mencari rezeki.

Ibnu Rajab mengatakan, bertawakal tidaklah bermaksud seseorang itu perlu meninggalkan sebab atau sunnatullah yang sudah ditetapkan dan ditakdirkan.

Allah SWT memerintahkan kita berusaha dan pada masa yang sama memerintahkan kita untuk bertawakal.

Usaha dengan anggota badan untuk meraih sebab adalah termasuk ketaatan kepada Allah. Sedangkan tawakal dengan hati adalah keimanan kepada-Nya.

Usaha adalah perkara penting tetapi setiap Muslim tidak boleh bergantung kepada sebab atau usaha yang dilakukan. Dalam kitab Madarijus Salikin yang dikarang oleh Imam Ibnul Qayyim menyatakan, tawakal ialah ibadat hati.

Setiap ibadat wajib ditujukan hanya kepada Allah SWT. Sesiapa yang menyerahkan ibadat kepada selain Allah, dibimbangi dia akan jatuh kepada perbuatan syirik.

Begitu juga jika seseorang bertawakal dengan menyandarkan hatinya selain Allah, maka dia juga termasuk dalam perbuatan syirik.

Perlu juga diingatkan, tawakal bukan saja untuk memperoleh kepentingan, mendapat manfaat dunia atau menghindari bahaya dalam urusan dunia tetapi hendaklah bertawakal dalam urusan akhirat bagi memperoleh keredaan Allah SWT.

Justeru, seseorang perlu bertawakal supaya dia boleh teguh dalam keimanan. Menurut Imam Ibn Qayyim dalam kitab al-Fa-wa’id, tawakal paling agung adalah untuk mendapat hidayah, teguh dalam tauhid serta teguh mencontohi Rasulullah SAW.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 10:04 PM