Suriany Awaludin

Bolehkah isteri keluar dari rumah membawa anak pulang ke rumah ibu bapanya selepas berlaku pergaduhan besar dengan suami?

Isteri kerap diherdik, dimaki dan pernah juga dipukul. Adakah keluar tanpa mendapat keizinan suami itu dibolehkan memandangkan suami bersikap zalim dan dirasakan tidak layak lagi mendapat penghormatan?

Isteri Kecewa, Petaling Jaya

Setiap pasangan suami dan isteri mempunyai tugas dan hak masing-masing yang perlu ditunaikan demi mencapai matlamat perkahwinan.

Allah SWT menegaskan tujuan perkahwinan itu melalui firman-Nya di dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Allah menciptakan untuk kamu suami isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Perbuatan yang bertentangan dalam maksud mencapai matlamat keharusan perkahwinan jelas melanggar perintah Allah dan ia akan dihitung sebagai amalan baik atau buruk hingga ke hari akhirat kelak.

Isteri wajib mentaati suami sebaik sahaja akad nikah dilafazkan selagi mana suami tidak melakukan perbuatan yang ditegah syarak.

Manakala suami pula wajib menjalankan tanggungjawab menunaikan nafkah terhadap isteri, menjaga diri dan kebajikan isteri dari segi fizikal, mental dan rohaninya.

Hak yang wajib seorang isteri peroleh daripada suami seperti nafkah, tempat tinggal serta dilayan dengan lemah lembut. Apabila hak itu gagal ditunaikan atau suami melakukan kezaliman terhadap isteri, maka hilanglah hak suami untuk ditaati.

Jika isteri berterusan membiarkan dirinya diperlakukan secara tidak syarie oleh suami, isteri dianggap bersubahat di atas kejahatan dilakukan suami.

Contohnya, isteri membiarkan dirinya dipukul dan diseksa sedangkan dia boleh melepaskannya, maka dia termasuk dalam membantu suami melakukan kezaliman ke atas dirinya.

Jika hal sedemikian terjadi, isteri yang dizalimi dengan tindakan suami yang melampaui batas, maka dia perlu menyelamatkan dirinya.

Dalam kalangan ulama, ada yang menyenaraikan sebab membolehkan isteri keluar dari rumah suami. Antaranya takut bahaya akan menimpanya jika terus berada dalam rumah berkenaan.

Sepertimana yang disenaraikan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Sharh al-Minhaj: “…ataupun suami mengancam dengan satu pukulan yang tidak sewajarnya, lalu dia (isteri) keluar kerana takut kepadanya.

Maka, keluar isteri ketika itu tidak dikira sebagai nusyuz disebabkan keuzuran. Bagi merungkai masalah pembaca kali ini, tindakan isteri yang tidak tahan dengan sikap suami sering memukul, mengherdik dan memakinya menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah ibu dan bapanya.

Itu adalah tindakan yang dibenarkan syarak. Sebagaimana dijelaskan oleh ulama fikah, ancaman atau pukulan suami itu menyebabkan isteri diharuskan keluar kerana takut menjejaskan keselamatan dirinya.

Tindakan isteri tidak dikira nusyuz atau bertentangan dengan hak dan kewajipan dalam perkahwinan. Penjelasan lain berkenaan perkara itu termasuk, isteri boleh meninggalkan rumah suami apabila dia merasa terancam atau dalam keadaan bahaya.

Ini termasuk suami menghidap penyakit berbahaya seperti AIDS atau penyakit kelamin lain atau suami terbabit dengan aktiviti berbahaya seperti dadah, jenayah dan seumpamanya.

Selanjutnya, isteri walaupun tidak boleh keluar dari rumah jika tidak ada ancaman bahaya atau hal lain yang diizinkan syarak, namun dia tetap boleh menuntut cerai atau faraq (pemisahan oleh hakim) sekiranya suaminya mencerca atau melayaninya dengan cara tidak wajar sekalipun tidak memukulnya.

Pemisahan itu disebabkan berlakunya mudarat dari segi fizikal, contohnya suami memukul atau melakukan sesuatu hingga mendatangkan kecederaan kepadanya.

Kedua, suami memaki, menengking, tidak lagi mahu bersetubuh atau enggan berbicara dengannya.

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 12:58 PM