PINTU taubat sentiasa terbuka untuk manusia selagi belum meninggalkan dunia ini.
Kembara Mukmin

Berusaha meninggalkan dosa dan menahan diri daripada melakukan maksiat adalah satu bentuk jihad. Ia adalah perjuangan nafsu dan anggota badan yang meletakkan diri seseorang dalam perjuangan di jalan Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredaan), Kami benar-benar akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Imam Al-Ghazali membahagikan taubat itu kepada tiga tingkatan iaitu taubat orang awam, khusus dan lebih khusus. Bagi taubat orang awam, ia adalah taubat yang dilakukan terhadap dosa yang nyata iaitu seperti berzina, mencuri, membunuh dan sebagainya.

Taubat orang yang khusus pula adalah kerana dosa batin yang dilakukan termasuk perasaan riyak, dengki, takbur, ujub dan lain-lain. Taubat orang yang lebih khusus adalah taubat daripada kelalaian mengingati Allah SWT. Taubat itu seperti yang dimaksudkan Rasulullah SAW dalam satu hadis bermaksud: “Demi Allah, sesungguhnya saya memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepadanya lebih daripada tujuh puluh kali pada setiap hari.” (Riwayat Bukhari)

Sehubungan itu, setiap Muslim perlu berusaha menyempurnakan amalan yang kurang dalam usaha mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ia penting supaya setiap tindakan yang dilakukan akan membentuk jati diri Muslim terbaik di sisi Allah.

Antara amalan yang dianjurkan adalah meninggalkan dosa zahir dan batin. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka lakukan.” (Surah al-An’am, ayat 120)

Kemudian, perlu berusaha menghindari diri daripada sifat leka dan lalai, sebaliknya sentiasa basahkan diri dengan zikrullah (mengingati Allah).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sememangnya dunia itu dilaknat. Segala yang di dalamnya adalah dilaknat melainkan zikrullah dan apa yang disukai Allah, juga orang yang berpengetahuan dan orang yang belajar.”

Selain itu, segeralah mendapatkan keampunan dan berlumba-lumba melakukan kebaikan. Antara tanda ahli syurga adalah seseorang itu sentiasa berkejar dan berlumba-lumba untuk melakukan apa saja kebaikan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Imran, ayat 133)

Itu juga tanda diri seseorang mendapat belas kasihan dan rahmat daripada Allah SWT kerana setiap ibadat yang dilakukan, hatinya berasa seronok ketika melaksanakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 12:02 PM