GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad
Mohd Shahrizal Nasir

Musim tengkujuh kini mula melanda kawasan khususnya di Terengganu dan Kelantan. Fenomena itu sering melanda kawasan khususnya di pantai timur tatkala hujung tahun sekitar November dan Disember.

Hakikatnya, hujan adalah kurniaan Allah SWT yang membuktikan kekuasaan-Nya yang tiada tolok bandingan. Allah SWT Maha Berkuasa menurunkan hujan di atas muka bumi dan memberhentikannya tanpa sebarang paksaan mahupun pertolongan daripada pihak lain.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, engkau melihat bumi kosong sepi (dalam keadaan kering dan tandus), maka apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya sudah tentu berkuasa menghidupkan makhlukmakhluk yang telah mati, sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Fussilat, ayat 39)

Allah SWT berkuasa menjadikan tanah yang kering, kemudian subur setelah diturunkan hujan ke atasnya. Malah, tumbuh pula selepas itu tumbuhan di atas tanah kering berkenaan.

Begitulah Allah SWT menzahirkan kekuasaan-Nya. Dengan sebab turunnya hujan, bukan saja tumbuhan mendapat manfaat, tetapi manusia turut merasai nikmat kurniaan Allah SWT itu.

Air dari langit itulah yang menjadi minuman manusia untuk meneruskan kehidupan. Firman Allah SWT bermaksud: “Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur.” (Surah al-Waqi’ah, ayat 68-70)

Sebab itulah nikmat hujan perlu disyukuri. Rasulullah SAW menunjukkan contoh melalui saranan Baginda supaya memperbanyakkan doa ketika hujan. Diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aishah, bahawa Rasulullah SAW apabila melihat awan (yang belum berkumpul sempurna) di salah satu ufuk langit, Baginda meninggalkan apa yang sedang dilakukan, meskipun dalam solat, kemudian Baginda kembali melakukannya lagi (jika hujan sudah selesai).

Ketika awan tadi hilang, Baginda memuji Allah. Namun, jika hujan, Baginda mengucapkan, “Allahumma soyyiban nafi’an” (Ya Allah, jadikankanlah hujan ini sebagai hujan yang bermanfaat).” (Hadis riwayat Ahmad)

Kita dianjurkan berdoa tatkala hujan kerana ketika itu Allah SWT sedang menurunkan rahmat-Nya. Hal itu dinyatakan Al-Imam al-Shafi’i dalam kitabnya Al-Umm dan juga dinukilkan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya Al-Mughni mengenai hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Carilah doa yang mustajab pada tiga keadaan, bertemunya dua pasukan (peperangan), tatkala solat dilaksanakan ketika hujan.

“Selain itu, hujan juga pernah dijadikan sebab musnahnya kaum yang dimurkai Allah SWT. Kaum Nabi Hud antara golongan yang dimusnahkan Allah SWT dengan hujan.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Yang menghancur-leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya.” (Setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah), tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.” (Surah al-Ahqaf, ayat 24-25)

Rasulullah SAW apabila melihat mendung di langit, Baginda berganjak ke depan, ke belakang atau beralih masuk atau keluar dan berubahlah raut wajah Baginda.

Apabila hujan, Baginda mula menenangkan hatinya. Saidatina ‘Aishah sudah memahami jika Baginda melakukan perbuatan seperti itu.

Lalu Nabi SAW bersabda, “Aku tidak mengetahui apa ini, seakan-akan inilah yang terjadi (pada Kaum ‘Aad, kaum Nabi Hud).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW supaya hujan itu tidak membawa mudarat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosak kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, gunung-gunung, bukit-bukit, kawasan lembah dan tempat tumbuhnya pokok.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Begitulah perkara yang perlu diambil perhatian mengenai hujan. Hujan adalah rahmat kurniaan Allah SWT namun boleh juga menjadi kemurkaan Allah SWT kepada manusia yang ingkar terhadap-Nya.

Walau bagaimanapun, jangan ada yang merungut kerana hujan. Sentiasa bersangka baik mudah-mudahan hujan itu membawa seribu rahmat dan akan turun bertakung pada bahagian bumi atau tanah yang rendah.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 11:33 AM