GAMBAR hiasan. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Qira’ah Fatwa

Saya seorang isteri yang tidak mempunyai pendapatan kerana tidak bekerja. Bolehkah saya menggunakan duit suami secara rahsia untuk diberikan kepada ibu bapa?

Pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah. Satu hari Hindun binti ‘Utbah iaitu isteri kepada Abu Sufyan datang menemui Rasulullah untuk mengadu perihal suaminya.

Kata beliau yang bermaksud: “Sesungguhnya Abu Sufyan ini seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk aku dan anakku. Kalau pun cukup disebabkan aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah perbuatanku itu salah?

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ambillah daripada hartanya dengan cara yang baik yang cukup untuk engkau dan anak engkau.” (Riwayat al-Bukhari - 2211 dan Muslim - 4574)

Hadis itu menjelaskan kepada kita keharusan seorang isteri mengambil duit sekadar perlu untuk keperluan dirinya dan anaknya hanya jika suaminya tidak memberi nafkah yang sepatutnya.

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis itu menyatakan, antara faedah yang boleh diambil daripada hadis berkenaan ialah barang siapa yang ada hak yang sepatutnya diberikan kepadanya dalam keadaan suaminya tidak memberikan haknya (iaitu nafkah), maka harus bagi isterinya mengambil haknya sekadar keperluan tanpa izin suaminya. Itulah mazhab ashab kami. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim - 6/141)

Bahkan, boleh kita fahami di dalam hadis berkenaan akan kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Itulah yang dinyatakan oleh Imam al-San’ani di dalam kitabnya Subul al-Salam.

Namun, perlu diingat ia dibenarkan untuk diambil sekadar keperluan saja jika suami tidak memberikan nafkah. Bagaimanapun, jika suami memberikan nafkah yang secukupnya, maka tidak boleh mengambil duit tanpa izin daripadanya.

Kami cadangkan supaya duit yang diberikan suami itu yang patut digunakan untuk diberikan kepada ibu bapa.

Kedua, jika duit itu hanya cukup untuk keperluan diri dan anak-anak, maka berbincanglah secara baik dengan suami.

Perbuatan mengambil secara rahsia tanpa pengetahuan suami itu ditakuti akan mengeruhkan lagi suasana dalam rumah tangga.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 11:10 AM