GAMBAR hiasan
AL-FIQH

1. SIAPAKAH orang yang mula-mula sekali mengebumikan jenazah?

MENGIKUT setengah pendapat ialah burung gagak iaitu ketika Qabil membunuh adiknya Habil. Ada pula pendapat lain mengatakan Bani Israel berpandukan firman Allah SWT dalam Surah ‘Abasa, ayat 21 yang bermaksud: “Kemudian dimatikannya lalu diperintahkan supaya dikebumikannya.” Ini bererti, kubur dijadikan sebagai tempat menyimpan jenazah sebagai memuliakannya bukan dicampak ke merata-rata tempat sehingga dimakan burung dan binatang buas.Walau bagaimanapun, mengikut majoriti pendapat, orang pertama yang mengebumikan jenazah ialah Qabil, anak kepada Nabi Adam selepas dia membunuh adik kandungnya, Habil. Idea untuk mengebumikan jenazah adiknya itu ialah selepas dia terpandang seekor gagak yang mencakar-cakar dan mengorek tanah.

2. APAKAH kadar yang wajib dilakukan pada kubur bagi melepaskan fardu kifayah?

SEKURANG-KURANGNYA satu lubang yang mencukupi untuk menanam jenazah sekadar ia tidak terkeluar bau yang boleh mengganggu orang yang berada di atasnya dan sekadar tidak mampu digali oleh binatang buas walaupun tidak terdapat binatang buas di kawasan berkenaan.Ini kerana ia ditakuti jenazah akan dihina. Itulah had yang dikehendaki syarak.

3. APAKAH hikmahnya umat Islam disuruh supaya mendalamkan lubang kubur sekadar seperunjung (setinggi manusia berdiri dari kaki hingga ke hujung jari tangannya yang diluruskan ke atas). Lebarnya pula adalah sebuka dua sikunya (daripada hujung siku kanan hingga ke hujung siku kiri yang dikembangkan). Apakah faedahnya akan dirasai jenazah atau hanya untuk kemudahan orang yang akan menurunkan jenazahnya?

ANTARA hikmah dituntut melakukan sedemikian adalah supaya baunya tidak dapat keluar sehingga ia boleh memudaratkan orang lain juga ia memudahkan orang yang berdiri di dalamnya menyambut dan meletakkan jenazah di dasarnya. Jika terlalu sempit mungkin akan menyukarkan untuk menurunkan jenazah kerana ramai orang di dalamnya.

4. ADAKAH orang yang memasukkan jenazah ke dalam kubur itu orang yang didahulukan ketika menyembahyangkan jenazahnya atau orang lain?

ORANG paling afdal menyembahyangkan jenazah seseorang itu diutamakan kepada bapa atau datuknya hinggalah ke atas mengikut tertib. Ketika mengebumikan jenazah, hendaklah iutamakan orang yang lebih arif mengenai hukum fiqah daripada orang yang berusia. Berlainan halnya ketika menyembahyangkan jenazahnya hendaklah lebih diutamakan orang

yang lebih tua berbanding orang yang lebih arif mengenai hukum fiqah.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 3:16 AM