FOTO Hiasan.
Datuk Dr Zahazan Mohamed

SAYA sangat rimas dengan rakan-rakan di pejabat yang buat kerja sambil berborak. Mereka juga selalu mengumpat. Jika tidak puas hati pasal kerja, mereka akan maki hamun di belakang. Bagaimana hendak mewujudkan rasa ketenangan ustaz?

Ramlah, Segambut

DALAM sebuah hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa boleh memberikan jaminan kepadaku (untuk menjaga) apa yang ada di antara dua janggutnya dan dua kakinya, maka aku berikan jaminan masuk syurga.” (Riwayat al-Bukhari)

Balasan bagi mereka yang menjaga lidah ialah mendapat jaminan syurga. Justeru, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah menghindari daripada bercakap perkara yang boleh membawa kepada dosa.

Sekiranya memiliki ketakwaan pada diri, sudah tentu mereka akan mengawal percakapannya dan hanya bercakap perkara yang baik dan benar.

Allah berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 70 dan 71 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki amalan-amalanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka ia mendapat kemenangan yang besar.”

Sebab itu perlu ada takwa dalam percakapan. Takwa adalah sebagaimana perbualan Umar bin al-Khatab dengan Ubay bin Ka’ab.

Umar berkata: “Wahai Ubai, apa maksud takwa?” Ubay berkata: “Wahai Umar, pernahkah engkau berjalan melalui jalan yang penuh duri?”

Umar menjawab: “Tentu sahaja pernah.” Ubay bertanya: “Apa yang engkau lakukan ketika itu wahai Umar?”

Umar menjawab: “Tentulah sahaja aku akan berhati-hati.” Ubay lalu berkata: “Itulah hakikat takwa.”

Orang yang bertakwa ialah orang yang berhati-hati dalam setiap percakapan dan tindakannya. Dia akan berusaha untuk menghindari daripada duri-duri yang menjadi larangan Allah.

Tidak boleh bercakap sesuka hati dan perlu menahan percakapan sekiranya perkara itu melanggar hukum Allah. Ia seumpama kita memandu kereta, sekiranya di hadapan ada sesuatu yang membahayakan, maka perlu brek supaya tidak merempuh atau melanggar kenderaan di hadapan itu.

Justeru, dalam sebuah organisasi, perlu ada sikap saling hormat menghormati dan menjaga percakapan supaya ia tidak sampai menyakiti dan mengganggu orang lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah seseorang yang orang Muslim lainnya selamat daripada gangguan lidah dan tangannya.” (Riwayat Muslim)

Boleh sahaja seseorang itu terganggu disebabkan lidah yang tidak dijaga atau disebabkan tulisan yang dilakukan oleh tangannya. Untuk menjadi sebaik-baik Muslim, seseorang perlu menjaga kedua-dua perkara berkenaan.

Bercakaplah perkara yang baik atau diam sekiranya tidak perlu. Ia lebih menjaga kewibawaan serta kehormatan dirinya sendiri.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Muslim)

Menjelaskan hadis itu, Imam as-Syafie menjelaskan apabila seseorang hendak berkata dia hendaklah berfikir terlebih dahulu. Jika merasakan perkataan itu tidak akan membawa mudarat, maka silalah bercakap. Sekiranya perkataan itu akan membawa mudarat atau ragu-ragu, maka hendaknya dia tidak bercakap.

Ibnu Rajab berkata dalam kitab Al-Ulum wa Al-Hikam: “Sesungguhnya setiap orang yang hidup

di dunia sedang menanam kebaikan atau keburukan dengan perkataan dan amal perbuatannya.

“Kemudian pada hari kiamat kelak dia akan menuai apa yang ditanamnya. Sesiapa yang menanam sesuatu yang baik dari percakapannya mahupun perbuatannya, maka dia akan menuai kemuliaan.

“Sebaliknya, sesiapa yang menanam sesuatu yang buruk daripada ucapan mahupun perbuatannya, maka kelak dia akan menuai penyesalan.”

Jika dalam sebuah organisasi itu semua pekerja menjaga percakapan serta saling hormat menghormati, nescaya akan wujud suasana harmoni, ketenangan dan kasih sayang.

Sekiranya percakapan tidak dijaga, sudah pasti wujud perasaan membenci, hilangnya ketenangan dan boleh membawa kepada perpecahan.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 2:01 AM