FOTO Hiasan.
Suriany Awaludin

SUAMI saya sangat mudah naik angin. Kadang-kadang berlaku perkara kecil sahaja misalnya, anak-anak bermain di dalam rumah mesti ada riuh rendahnya.

Bagaimanapun, tidak semena-mena dia akan tengking dan membaling barang sehingga anak-anak berasa takut. Saya pun turut dimarahinya tanpa sebab.

Lebih teruk, dia mengeluarkan kata-kata kesat dan sumpah seranah termasuk bodoh, tak guna, buta, pekak dan kurang ajar.

Apabila saya cuba menegurnya, dia tidak ambil peduli, malah menyatakan sebagai suami dia perlu ditaati. Maka, tiada apa yang boleh saya lakukan selain berdiam diri.

Di pejabat, saya kerap ceritakan masalah itu kepada kawan perempuan yang rapat. Ada yang menasihatkan saya segera pergi ke pejabat agama untuk mendapatkan nasihat.

Saya sangat tertekan dan sekiranya kami berpisah, pernah terbit di hati saya tidak akan menyesal. Namun, mengenangkan nasib anak-anak masih kecil saya cuba bertahan dan bersabar.

Apakah sepatutnya dilakukan bagi wanita yang ditekan dengan perangai suami panas baran terhadap anak-anak?

Hamba Allah, Ampangan, Negeri Sembilan

TUJUAN hidup berumah tangga dalam Islam adalah untuk memenuhi naluri kemanusiaan, mendirikan sunah Rasulullah sebagai ibadat kepada Allah, mendapatkan kebahagiaan serta ketenangan dengan kedua-duanya ada perasaan bertimbang rasa.

Firman Allah dalam Surah al-Rum ayat 21, bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaannya, dia mencipta untukmu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasakan tenteram kepadanya dan dijadikannya di antara kamu rasa kasih sayang dan bertimbang rasa.”

Apabila terdapat perbuatan suami yang memudaratkan isteri seperti sentiasa dipukul, dicaci maki, diancam dan dipaksa mengerjakan perkara haram, adakah boleh isteri meminta fasakh kepada hakim?

Para fuqaha berbeza pendapat mengenai masalah berkenaan. Menurut Imam Malik dan Ahmad, wanita berhak meminta fasakh kepada hakim di atas kepedihan dan penderitaan yang dilaluinya akibat perbuatan suami dengan syarat isteri sudah berusaha mengatasi masalah itu.

Apabila hal berkenaan sudah dilaporkan kepada hakim, maka hakim akan membuat penelitian yang sepatutnya. Jika terbukti apa yang dilaporkan isteri atau suami mengakui laporan itu serta penderitaan dialami isteri sememangnya tidak dapat ditahan oleh wanita lain, maka hakim mahkamah hendaklah berusaha menasihati dan mengislahkan suami isteri berkenaan.

Seandainya usaha hakim tidak berhasil, hendaklah dia menjatuhkan talak kepada wanita itu bagi pihak suaminya (talak ba’in). Komunikasi yang baik terhadap isteri adalah melayaninya dengan baik, lembah lembut, bertolak ansur sama ada dalam hubungan fizikal atau mental.

Ia bersesuaian dengan sifat semula jadi wanita yang lembut dan mudah terguris hatinya. Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bergaullah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-bengkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menerangkan cara komunikasi berkesan terhadap wanita. Berlaku kasar terhadap isteri termasuk kata-kata serta tindakan yang menyakitkan fizikalnya.

Tindakan yang menyakitkan perasaan isteri antaranya mencari-cari kesilapannya, khianat serta mengganggu ketenangan isteri pada malam hari seperti pulang lewat malam selepas berfoya-foya atau bersembang di luar.

Daripada Jabir: “Nabi SAW melarang suami mengetuk pintu keluarganya pada malam hari, melarang khianati mereka atau mencari-cari kesalahan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Suami yang baik sentiasa menghormati dan melayani isteri dengan penuh sopan dan bersabar walaupun ada tingkah laku isteri yang tidak disukainya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka secara patut (makruf), kemudian bila kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisaa’, ayat 19)

Jika suami gagal berkomunikasi dengan baik terhadap isteri sehingga membawa masalah besar, isteri boleh menasihati dan mengingatkan suami akan hak berkenaan.

Sebaliknya, jika suami enggan berubah, isteri boleh meminta bantuan orang tengah untuk menasihatinya. Jika tidak berhasil juga, isteri boleh mengadu ke mahkamah syariah untuk mengambil tindakan tertentu kepada suaminya supaya tidak mengulangi kekasarannya.

Suami perlu melayani anak-anak yang masih kecil. Teladani Rasulullah yang menunjukkan sikap lemah lembut kepada wanita dan kanak-kanak.

Perbuatan suami puan jelas bertentangan dengan apa yang disyariatkan dalam mendidik, menjaga serta membesarkan anak-anak. Jika perbuatan itu tidak dikawal dan diperbetulkan, ia memberi kesan terhadap emosi dan pembesaran anak-anak.

Jika puan rasakan matlamat perkahwinan masih boleh dicapai, puan perlu berusaha memperbaiki tingkah laku suami khususnya dalam menghadapi kerenah anak-anak.

Puan boleh memujuk suami mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor atau mana-mana orang yang dihormatinya. Jika tidak mampu lagi menanggung penderitaan, puan boleh rujuk masalah itu ke Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinan.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 2:00 AM