FOTO Hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

ISLAM tersebar dari Tanah Arab ke China pada pertengahan abad ke-7. Dalam beberapa abad, diplomat dan pedagang membina ‘jambatan’ pertukaran ekonomi dan budaya yang menghubungkan China dan Arab.

Mereka yang membawa Islam ke China. Pada masa sama, budaya Cina purba turut tersebar di seluruh dunia. Menurut catatan sejarah China, Islam tersebar sehingga pedalaman China ketika pemerintahan Dinasti Tang dan Dinasti Song (618-1279).

Terdapat dua jalan perdagangan sutera iaitu jalan laut dan jalan darat menghubungkan China, Asia Tengah dan Timur Tengah pada masa itu. Kedua-dua jalan perdagangan berkenaan memberikan sumbangan besar kepada perkembangan budaya dunia dengan memendekkan jarak antara timur dan barat.

Sepanjang jalan itu, budaya Cina diperkenalkan ke dunia barat. Konsep falsafah Islam dan tamadun barat juga disebar ke China. Ketika pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan (644-656), beliau menghantar utusan yang diketuai Saad Bin Abi Waqqas untuk membuat kunjungan hormat kepada Dinasti Tang pada tahun kedua pemerintahan Maharaja Yong Hui (tahun 651).

Mengikut sejarah China, tahun itu dianggap sebagai tanda bermulanya pengenalan Islam kepada China. Rekod China menunjukkan sepanjang tempoh 651 hingga 798, seramai 39 utusan Arab melawat China dan semakin ramai pedagang Arab dan Parsi datang ke China.

Pertukaran persahabatan yang kerap antara kedua kerajaan dan hubungan perdagangan itu mempertingkatkan lagi persahabatan sedia ada di antara China dan dunia Arab.

Secara tidak langsung ia menyebabkan berlaku penyebaran Islam di China. Laluan ke China untuk utusan dan ahli perniagaan dari Arab dan Parsi melalui darat bermula di Parsi melintasi wilayah Xinjiang China. Sepanjang jalan sutera dan berakhir di bandar pedalaman China seperti Xi’an dan Luoyang.

Sementara itu, laluan laut pula bermula di Teluk Parsi, melewati Semenanjung Tanah Melayu dan akhirnya tiba di pelabuhan perdagangan sepanjang pantai selatan China seperti Guangzhou, Yangzhou dan Quanzhou.

Hasil perkahwinan pedagang Islam dengan penduduk Han tempatan melahirkan masyarakat Islam dikenali sebagai Hui. Mereka membentuk kehidupan yang aman dan membina masjid.

Generasi anak-anak mereka diajar berpegang kepada ajaran Islam dan hidup bersama komuniti Han yang bukan Islam dengan aman. Masyarakat Hui dan Han berhubung dengan menggunakan bahasa sama iaitu Mandarin.

Masyarakat Hui Islam membentuk penduduk Islam terbesar di China iaitu 10 juta orang. Ada sembilan lagi etnik Muslim lain seperti Uygur, Kazak Uzbek, Kirgiz, Tajik, Tatar, Dongxiang, Sala dan Baoan.

Jumlah keseluruhan penduduk Islam di China adalah 23 juta orang. Pada 5 November lalu, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) membuat kunjungan hormat kepada Persatuan Islam China (CIA) di Beijing.

Delegasi MACMA disambut Timbalan Presiden CIA, Abdullah Amin Jin Rubin. Perbincangan berlangsung dengan harmoni bagi mengeratkan lagi hubungan Muslim di antara kedua-dua negara.

Walaupun hubungan diplomatik Malaysia-China bermula pada 1974, tetapi sejarah membuktikan China mempunyai hubungan jauh lebih awal apabila Laksamana Cheng Ho mengunjungi Melaka pada awal abad ke-15.

Hubungan Kesultanan Melaka dan Maharaja Dinasti Ming sangat erat dan kukuh sehinggakan Melaka bebas daripada ancaman kuasa luar.

Sebelum ini, MACMA juga sudah membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian bagi bertukar-tukar pandangan serta menggalakkan jaringan hubungan budaya di antara masyarakat Muslim dan penduduk di China dan Malaysia.

Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 1:30 AM