UMAT Islam digalak solat berjemaah di rumah Allah.
Fadly Samsudin

Di neraka Jahanam, ada sebuah lembah dinamakan ‘al-Hazan’. Ia disediakan Allah SWT buat golongan pembaca al-Quran, namun bersikap riyak.

Seperti diriwayatkan dalam satu hadis, daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu memohon perlindungan Allah daripada Jubb al-Huzn.”

Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu Jubb al-Huzn?” Nabi SAW menjawab: “Satu lembah di neraka Jahanam di mana neraka Jahanam turut memohon perlindungan Allah daripadanya setiap hari 400 kali.”

Rasulullah SAW ditanya lagi: “Siapkah yang bakal memasukinya?” Nabi SAW menjawab: “Ia disediakan Allah bagi pembaca al-Quran yang riyak dengan amalan-amalan mereka dan sesungguhnya mereka paling dimurkai Allah ialah yang mendatangi para pemerintah (iaitu pemerintah yang zalim dan dengan tujuan mencari hasil duniawi dengan menggadaikan ayat-ayat Allah).” (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Penyakit hati seperti riyak amat bahaya dan besar mudaratnya. Apabila wujud riyak dalam diri, maka sia-sia amalan yang dilakukan kerana ia akan terhapus dengan sendirinya.

Jelas kepada kita, orang yang beribadat juga tidak terlepas daripada hukuman jika amalan yang dilakukannya tidak ikhlas kerana Allah SWT serta timbul perasaan riyak.

Berdasarkan hadis itu, neraka Jahanam sendiri turut meminta perlindungan kerana busuk dan rosaknya lembah itu.

Selain itu, Nabi SAW mengingatkan umatnya supaya tidak memuji ibadat orang lain kerana ia begitu mudah membuka pintu riyak.

Ulama menyatakan, riyak boleh berlaku pada setiap saat walaupun ibadat yang dilakukan sudah bertahun-tahun lamanya.

Contohnya, seorang yang sudah melaksanakan ibadat haji beberapa tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, dia sedaya upaya mengawal supaya tidak timbul perasaan riyak dengan gelaran haji yang diterimanya serta kerja hajinya.

Mungkin ketika berada di Arafah, dengan penuh keikhlasan dia memohon keampunan kepada Allah SWT sehingga menangis sebagai tanda penyesalan.

Akhirnya, ada sahabat atau saudara yang baru pulang daripada mengerjakan haji datang ke rumah lau menceritakan pengalamannya.

Tidak semena-mena dan tanpa ditanya, dia pula menceritakan ‘kehebatan’ kisahnya yang pernah mengalirkan air mata ketika berdoa di sana.

Mungkin perkara seumpama itu dilihat seperti tiada kesalahannya namun pintu riyak ketika itu mula terbuka.

Bagi orang yang ibadatnya dilakukan semata-mata kerana Allah, apabila meninggal dunia, Allah SWT akan ‘membongkar’ segala amal ibadatnya untuk dijadikan pengajaran kepada manusia lain.

Sehubungan itu, bagi menghindari sifat riyak, kita perlu berusaha untuk  sentiasa takut dengan keemurkaan Allah SWT. Dengan itu, diri akan sentiasa berwaspada daripada melakukan perkara yang mengundang dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.

Tanamkan dalam diri, sesuatu perkara yang dilakukan kerana inginkan penghargaan manusia tidak memberi sebarang makna. Apa guna kita dilihat hebat dan disanjung manusia, tetapi di akhirat kelak kita akan mendapat seksaan yang dahsyat.

Selain itu, berusahalah menghadirkan rasa keikhlasan dalam setiap amalan yang dilakukan. Tanda riyak mula wujud dalam diri apabila seseorang berasa suka dipuji dan mahukan setiap amal kebaikan itu mendapat penghargaan.

Cuba semampunya untuk merahsiakan setiap amalan kebaikan yang dilakukan seperti bersedekah, berzikir dan solat malam kecuali ibadat itu memang tidak boleh disorokkan seperti menunaikan solat berjemaah di masjid serta beramai-ramai menghadiri majlis ilmu.

Dalam satu hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT sangat menyintai hamba-Nya yang bertakwa, berbesar hati iaitu orang kaya dan suka bersedekah dan suka merahsiakan ibadatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jangan pula ada yang memberi alasan tidak mahu pergi ke masjid untuk solat berjemaah, membaca al-Quran serta menghadiri majlis ilmu kerana bimbang akan dipanggil orang sebagai riyak.

Ada juga orang yang melakukan ibadat lantaran benar-benar ikhlas kerana Allah, namun perbuatannya itu mendapat perhatian orang lain. Keadaan itu tidaklah dikira sebagai riyak.

Ia berbalik semula kepada bagaimana hati kita ketika ‘ditawarkan’ perasaan riyak oleh bisikan syaitan, maka jangan sesekali kita layan dan membenarkannya berlaku.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 9:48 AM