GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Sedetik Rasa

Sebut saja hal berkaitan kematian, ia adalah saat yang sangat menakutkan. Bagaimanapun, perkara itu perlu sentiasa diingatkan kerana mengingati kematian adalah motivasi buat orang beriman.

Mengingati mati juga akan menghilangkan segala kelazatan yang ingin dinikmati di dunia ini. Kita mungkin boleh merancang pelbagai perkara untuk dilakukan pada hari esok, namun tidak tahu apa yang akan berlaku keesokan harinya.

Begitu juga dengan kematian, kita tidak akan tahu di mana tempat kita akan mati. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat), dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.” (Surah Luqman, ayat 34)

Dalam perjalanan menuju ke alam abadi, apakah persiapan yang perlu kita lakukan? Kematian seperti yang kita tahu adalah sesuatu yang amat menyakitkan.

Sewaktu bangun daripada tidur, kita membaca doa yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nya kami akan kembali.

Doa itu sebenarnya mengandungi pengertian yang sangat besar iaitu berkaitan dengan kematian. Ketika tidur kita semua dikatakan mati sebentar. Apabila terjaga, Allah SWT akan menghantar semula roh kita.

Maka, setiap orang Mukmin tidak akan sesekali lalai kerana setiap kali bangun tidur, kita diperingatkan dengan kematian.

Seperkara lagi, kematian turut memberi ‘notis peringatan’ iaitu penyakit. Antara tanda kiamat juga adalah terjadinya kematian secara mengejut.

Sebab itu, pada setiap ketika apabila kaki melangkah keluar rumah, kita perlu amalkan dengan mengucap dua kalimah syahadah serta memperbanyakkan beristighfar memohon keampunan Allah SWT.

Nabi SAW turut mengajarkan, antara persiapan yang perlu dilakukan adalah sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Allah SWT sentiasa membuka pintu taubat-Nya pada waktu malam buat hamba-Nya yang bersalah pada waktu siang. Justeru, jangan sesekali kita bertangguh untuk bertaubat.

Perasaan takut kepada kematian dapat diatasi dengan menyingkap ayat al-Quran berkaitan kematian menerusi al-Quran dan hadis.

Bagi golongan yang yakin kepada Allah, mereka akan merasai ketenteraman dan kebahagiaan dalam menanti kematian. Sebaliknya, bagi orang yang ingkar, saat kematiannya dia akan dikunjungi malaikat maut yang mencabut nyawanya dengan begitu kasar sekali.

Perasaan takut terhadap kematian juga disebabkan diri memikirkan bagaimana keadaan ahli keluarga yang ditinggalkan. Kita tidak perlu berasa bimbang kerana Allah SWT sudah berjanji kepada malaikat akan menguruskan hamba-Nya yang taat.

Penawar bagi perasaan takut adalah amalan kebaikan yang pernah dilakukan ketika kita masih hidup di dunia. Merenung kematian tidak sepatutnya menukar diri kita menjadi seorang yang pasif dalam hidup.

Kita perlu menjadi lebih serius menjalani kehidupan ini dan menggunakan peluang sebaiknya pada usia yang berbaki ini untuk meningkatkan amalan kebaikan.

Nabi SAW mengajarkan kepada umatnya supaya meninggalkan ilmu yang bermanfaat, harta dibelanjakan bagi tujuan kebaikan serta anak yang baik sebelum meninggal dunia kerana semua itu akan menjadi amalan yang berkekalan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 9:44 AM