GAMBAR hiasan. FOTO Muhd Adib
Qira’ah Fatwa

Apa hukum makmum terlupa untuk baca surah al-Fatihah ketika dalam solat berjemaah?

Bagi menjawab isu berkenaan, sekiranya terlupa maka tidak ada masalah. Cuma perlu dilihat, setakat mana terlupa itu. Sekiranya imam sudah rukuk, maka perlu baca terlebih dahulu Surah al-Fatihah sehinggalah dia dibenarkan tinggal tiga rukun perbuatan yang panjang iaitu sehingga imam hendak sujud kedua, maka pada masa itu, wajib dia mengikut imam semula.

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu’, makmum diberi keuzuran supaya tidak mengikuti imam sebanyak tiga rukun yang panjang pada keadaan tertentu di mana makmum mesti rukuk sebelum imam bangun daripada sujud kedua untuk qiyam pada rakaat atau bangun untuk tasyahhud. (Rujuk al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi)

Dalam mazhab al-Syafi’e, memahami hadis Nabi yang sahih dalam pelbagai riwayat. Antaranya, hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Somit bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.” (Riwayat al-Bukhari -756) dan Muslim - 900)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang.” Perkataan itu diulang sehingga tiga kali. (Riwayat Muslim - 907)

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata, jumhur umat Islam berpendapat wajib membaca al-Fatihah di belakang imam sama ada pada solat Sirr (perlahan) atau Jahr (kuat). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/365)

Membaca al-Fatihah adalah wajib kepada imam dan makmum. Adapun makmum terbahagi kepada dua. Sekiranya makmum masbuk, bacalah sekadar sebelum imam rukuk.

Apabila imam rukuk, walaupun bacaan belum habis, dia berhak mengikut imam berdasarkan nas hadis bermaksud: “Jika imam rukuk, maka rukuklah.” (Riwayat al-Bukhari - 733) dan Muslim - 411)

Bagi mereka yang membaca al-Fatihah sehingga habis adalah bagi makmum yang sifatnya Muafiq.

Adapun jika sembahyang seorang diri, dia juga wajib membaca al-Fatihah. Inilah mazhab Imam al-Syafie Rahimahullah.

Sekali lagi kami tegaskan bahawa al-Fatihah adalah wajib bagi imam, makmum (kecuali makmum masbuk) dan juga sembahyang seorang diri.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 11:40 AM