GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Masalah dan rahmah silih berganti dalam hidup kita. Bagaikan cuaca yang bertukar musim.

Firman Allah SWT: “Dan jika Kami rasakan kepada manusia suatu rahmat (nikmat) daripada Kami, kemudian rahmat itu Kami cabut daripadanya, pastilah dia menjadi putus asa lagi tidak berterima kasih. Dan jika Kami rasakan kepadanya kebahagiaan sesudah bencana yang menimpanya, nescaya dia akan berkata: Telah hilang bencana-bencana itu daripadaku. Sesungguhnya dia sangat gembira lagi bangga kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana), dan mengerjakan amal-amal soleh, mereka itu beroleh ampunan dan pahala yang besar.” (Surah Hud, ayat 9-11)

Nabi SAW mengajar umatnya supaya bersikap luar biasa. Daripada Shuhaib, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan keadaan seorang Mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang Mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka ia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka ia bersabar. Itu pun baik baginya.” (Riwayat Muslim, no 2999)

Apabila mendengar ayat positif itu ketika diuji, pasti kita tersenyum bangga kerana berjaya melalui ujian Allah dengan positif. Begitulah rahsia kehidupan.

Setiap orang akan mengalami kemerosotan, tragedi dan kehilangan. Orang yang beriman tahu Allah SWT Maha Kaya dan Maha Pemurah. Allah uji sekarang, tetapi Dia yang Maha Kaya dan boleh limpahkan kurnia-Nya pada bila-bila masa saja.

Mungkin dalam bentuk yang tidak disangka. Orang beriman akan jadikan fikiran positif itu sebagai pemangkin supaya tidak berputus asa. Mereka yakin masalah yang dihadapi pasti akan menemui jalan penyelesaiannya.

Orang yang belum mampu menyingkap rahsia hidup akan bersikap seperti disebut dalam ayat di atas iaitu terus berputus asa, lantas melupakan segala kebaikan Allah SWT kepadanya ketika menghadapi masalah atau kesusahan.

Realitinya, kita mudah bersyukur ketika menghadapi kebahagiaan atau mendapat segala yang diinginkan. Namun, keimanan yang kuat diperlukan untuk tetap bersyukur ketika sesuatu tidak berjalan dengan baik.

Ayat daripada Surah Hud itu juga berbicara mengenai orang yang berjaya mengatasi pelbagai halangan dan meningkatkan keimanan. Kesusahan dan cabaran tidak seharusnya menghentikan langkah kita.

Keimanan akan melindungi kita daripada menjadi seseorang bersifat negatif. Dengan penuh kesabaran, kita perlu terus berusaha, menumpukan perhatian dan tenaga meraih tujuan.

Tindakan baik akan menghasilkan sesuatu yang baik. Biar kuat, jangan biadab dan biar baik, bukannya lembik.

Hubungan seseorang dengan Tuhan boleh diibaratkan sebagai seutas tali. Jika kita menjadikan solat yang khusyuk itu sebagai kebiasaan, tali hubungan kita dengan Allah semakin kuat.

Allah SWT menjadi sumber sokongan yang jelas ketika kita menghadapi kesulitan mahupun mencapai kesenangan. Dengan mudah kita akan meraih apa jua perkara kerana tali itu selalu ada.

Kita tidak lagi berasa keseorangan atau lemah. Namun begitu, untuk jangka waktu yang lama kita tidak pernah mengingati Allah, ikatan tali itu akan terurai sedikit demi sedikit dan kita tidak lagi melihat tali hubungan dengan Allah.

Akibatnya, pada saat masalah dan kesulitan datang, kita merasakan tidak mempunyai sokongan dan kita akan jatuh dan berputus asa.

Duduklah sekejap dan tanya pada hati:

1. Pernahkah kita mengalami kegagalan demi kegagalan dalam sesuatu perancangan? Seakan-akan tidak ada peluang untuk kita berjaya?

2. Pernahkah kita serik hanya dengan sekali kegagalan?

3. Apakah respons lebih baik yang kita akan ambil selepas diuji?

Kita mungkin pernah bertemu seorang yang mencapai kejayaan dalam usianya yang tidak munasabah iaitu seorang remaja yang belum mencecah 20 tahun, namun sudah menjadi seorang jutawan.

Kenapa kita berasa terkejut dan sukar untuk percaya? Kerana kita menyatakan kepada diri, kita tidak mampu membuat pencapaian sebegitu dalam usia seperti itu.

Antara cabaran terbesar manusia adalah kemampuan menerima diri sendiri dengan seadanya. Saya berpendapat, orang paling menderita adalah orang yang tidak mampu menerima keadaan dirinya.

Sikap seperti itu akan melahirkan masalah yang sukar diselesaikan dan lama-kelamaan akan membuatkan seseorang itu menghidap gangguan jiwa, seterusnya menghancurkan hidupnya.

Dr Ibrahim Elfiky, seorang pakar motivasi terkenal dari Kanada menceritakan mengenai kisah seorang remaja bernama Sandra.

Masalah Sandra ialah dia sering berasa hidungnya terlalu besar. Sejak itu, keluarganya membiayai beberapa pembedahan kosmetik pada hidungnya namun tetap tidak dapat mengubah pendiriannya.

Dia masih belum dapat menerima keadaan dirinya. Akibatnya, dia mengelak daripada bertemu orang lain. Bahkan, dia tidak lagi datang ke sekolah dan dihantar ke hospital untuk menjalani rawatan jiwa sebanyak lima kali.

Ketika Dr Ibrahim Elfiky bertemu dengannya, beliau mendapati remaja itu sangat cantik dan hidungnya biasa saja. Hasil perbincangan dengan gadis itu, Dr Ibrahim Elfiky menemui sebab masalahnya iaitu ‘menerima diri sendiri.’

Jika hal itu berlaku kepada seseorang, dia tidak dapat menerima keadaan dirinya, tidak menghormati diri, bahkan menjauhkan diri untuk bercermin.

Keadaannya hanya pulih enam bulan kemudian selepas menjalani terapi untuk menerima keadaan dirinya.

Kesimpulannya, dalam hidup ini jangan takut gagal, tidak diterima dan dikritik. Terimalah diri sendiri seadanya kerana setiap diri kita berharga dan unik. Biar gagal ketika mencuba, jangan gagal mencuba. Jika kita dikurniakan nikmat, ucapkan Alhamdulillah dan jika ditimpa musibah, ucapkan innalillahi wa inna ilahi rajiuun sebagai tanda sabar.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 9:01 PM