GAMBAR hiasan. FOTO Azlan Hafeedz
Hilmi Isa

Hasad adalah kalimah Arab yang diterjemahkan sebagai dengki. Makhluk pertama berbuat dengki di langit ialah iblis laknatullah. Orang pertama sekali yang melakukan dengki di dunia ialah Qabil ketika dia dengki terhadap saudara kandungnya, Habil sehingga berlakunya pembunuhan.

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah hasad (dengki) kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Salah satu sebab manusia berasa dengki disebabkan harta. Seorang manusia akan mudah dengki apabila melihat orang lain lebih berharta. Biasa kita dengar orang yang berjaya dalam perniagaannya akan jatuh kerana ‘buatan orang’.

Restoran yang dahulunya maju dan ramai pelanggan akhirnya jatuh kerana pelanggan dikatakan ‘tak nampak kedai’ akibat disihir.

Di samping itu, hasad juga berlaku kerana kecantikan paras rupa seseorang. Orang berwajah cantik sering menjadi tumpuan sama ada sama jantina mahupun berlawanan jantina. Biasa kita dengar berita orang mendapat akibat buruk kerana menolak cinta.

Ada yang disihir sehingga sakit. Tidak kurang juga ada menjadi mangsa pembunuhan. Usah jadikan dengki sebagai budaya kita kerana ia hanya membuatkan hidup kita tidak bahagia.

Sifat cemburu adalah sebahagian naluri manusia di mana ia akan mendorong orang lain turut berusaha untuk berjaya. Kawal perasaan cemburu supaya ia tidak bertukar menjadi hasad.

Manifestasi dengki biasanya datang dalam pelbagai bentuk yang negatif. Ada pendengki yang melakukan fitnah, melakukan sihir dan sehingga ke tahap membunuh.

Manusia yang berjaya kebiasaannya melakukan pengorbanan ketika dalam proses menuju kejayaan. Biasa kita dengar pengorbanan yang mereka lakukan bukan sedikit.

Tanya pada diri sekuat mana kita sudah berusaha untuk menjadi seperti mereka yang berjaya itu atau kita lebih banyak menghabiskan masa melakukan kerja tidak berfaedah?

 Sememangnya ubat mujarab dalam mengubati penyakit hasad adalah bersyukur. Walaupun kita tidak kaya tetapi Allah
SWT kurniakan kita rezeki yang sentiasa mencukupi dan tidak pernah pula meminta-minta.

Walaupun kurang dari segi rupa, Allah tetap berikan kita rumah tangga yang bahagia. Walaupun tidak berpelajaran tinggi, Allah kurniakan kita anak yang bijak dan pandai.

Kita tidak memiliki harta yang banyak tetapi Allah SWT mengurniakan kita banyak masa bersama keluarga. Jiwa menjadi tidak bahagia apabila hasad bersarang dalam diri.

Sepanjang masa kita berharap supaya orang yang kita dengki itu perniagaan yang dijalankan segera jatuh, kecantikannya kian pudar atau kita berharap dia dibuang kerja.

Kita sibuk menghabiskan masa meneliti nikmat Allah yang masih kurang tetapi lupa Allah mengurniakan kita banyak lagi rezeki lain.

Maka berhenti bersikap dengki kerana nasib diri kita tidak berubah lantaran bersikap sedemikian dan sentiasa ingin menjatuhkan orang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 11:33 AM