GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Sedetik Rasa

Dalam satu hadis daripada Abu Dzar yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu apapun yang paling berat di dalam timbangan seorang Mukmin pada hari kiamat nanti daripada akhlak yang mulia. Sesungguhnya Allah sungguh membenci orang yang berkata kotor lagi jahat.” (Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi)

Berdasarkan hadis itu, Rasulullah mengaitkan akhlak mulia dengan lisan yang kotor. Ia menyatakan jika seorang itu ingin menjadi seorang berakhlak mulia, dia tidak boleh berkata-kata kotor.

Tidak keterlaluan dikatakan jika ingin mengetahui seorang itu memiliki akhlak mulia atau sebaliknya, boleh dilihat pada perkataan atau ungkapan yang kerap keluar dari mulutnya.

Dalam satu hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling buruk kedudukannya pada hari kiamat di sisi Allah adalah orang yang ditinggalkan oleh manusia kerana takut dengan lisannya yang buruk dan kotor.”

Amat penting supaya tidak keterlaluan dalam berkata-kata sehingga terpacul perkataan tidak baik membuatkan orang lain tidak dapat menerima lalu menjauhkan diri daripada kita.

Jika kita sudah terbiasa bercakap kasar dan kotor seperti suka menyindir, menjatuhkan maruah dan mengejek orang lain, hati-hati kerana kita akan dibenci Allah.

Apa lagi yang boleh kita harapkan apabila diri kita dibenci Pencipta gara-gara mempunyai lisan yang kotor. Berusaha supaya kita sentiasa bercakap dengan penuh hikmah dan baik terhadap sesiapa sahaja.

Di rumah misalnya, cuba kita layan dan hargai isteri dan anak-anak dengan bercakap penuh santun, tidak mudah menengking atau meninggi suara terutama kepada anak-anak yang kadang-kadang tindak-tanduk mereka membuatkan kita hilang sabar.

Sebenarnya, semua kata-kata negatif sama ada untuk diri sendiri, keluarga atau harta adalah satu bentuk laknat.

Setiap kalimat buruk dan tidak beradab yang terlantun itu akhirnya akan menjadi satu doa, tetapi dalam bentuk negatif. Akhirnya, ia sama sahaja seperti kita berdoa, tetapi seperti memohon keburukan terhadap diri dan keluarga.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Melaknat seorang Mukmin adalah seperti dosa membunuhnya.”

Sementara itu, dalam satu firman Allah dalam surah an-Nisaa’, ayat 93 bermaksud: “Dan sesiapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

Rasulullah adalah contoh terbaik. Baginda tidak pernah membalas dendam walaupun diri baginda disakiti, bahkan memberi pula kemaafan terhadap pelaku itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 12:08 PM