GAMBAR hiasan. FOTO Farhan Najib
Mohd Rizal Azman Rifin

Setiap umat Islam seharusnya merebut peluang melakukan seberapa banyak amalan sunah yang termampu.

Rasulullah SAW mengingatkan kita dengan sabdanya: “ Siapa yang menghidupkan salah satu sunahku, lantas dikerjakan orang ramai, maka ia memperoleh ganjaran mereka yang mengamalkan dengan tanpa mengurangi ganjaran mereka sedikit pun.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Antara amalan sunah Rasulullah SAW yang perlu dipraktikkan adalah menjawab azan pada waktu Subuh.

Abdullah bin Amru bin al-As memberitahu, Rasulullah SAW mengingatkan: “Apabila kamu mendengar seruan (azan), maka sebutlah seumpama apa yang disebutkan oleh muazin.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Imam Malik memetik satu hadis yang menerangkan pentingnya hidup bersandarkan amalan sunah. Dalam hadis itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan tersesat selamanya, selama berpegang teguh dengan kedua-duanya iaitu kita bullah dan sunah Nabi-Nya.”

Dalam usaha menghidupkan amalan sunah itu, ia memerlukan usaha dan disiplin diri yang tinggi. Untuk menjawab seruan azan pada solat Subuh, sudah tentu memerlukan seseorang itu bangun awal setiap pagi.

Kita wajar bangun lebih awal seperti ‘bangunnya’ ayam jantan. Ayam jantan akan berkokok pada awal pagi menjelang Subuh.

Dari sudut kesihatan, amalan bangun pada awal pagi sebelum waktu Subuh dapat meningkatkan kualiti kesihatan fizikal tubuh badan. Pada waktu itu, keadaan udara persekitarannya masih bersih tanpa dicemari debu.

Apa yang lebih penting bagi kita, amalan sunah yang dilakukan itu bertujuan memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah.

Seorang Muslim yang sentiasa bangun awal pagi, kemudian segera ke masjid untuk menunaikan solat Subuh diibaratkan penegak sunah Rasulullah SAW.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan satu hadis yang menyebut, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Doa antara azan dan iqamat tidak ditolak.”

Seandainya kita berada di dalam masjid dan mempunyai kesempatan mendengar seruan azan secara langsung daripada muazin, jangan pula kita keluar dari masjid.

Aisyah berkata: “Kami duduk bersama Abu Hurairah di dalam masjid, kemudian muazin melaungkan azan. Kemudian seorang lelaki bangun lalu keluar dari masjid.

Abu Hurairah mengikuti lelaki itu dengan matanya sehingga dia keluar. Kemudian Abu Hurairah berkata: “Adapun ini (perbuatan lelaki itu) ia derhaka kepada Abu al-Qasim (Rasulullah).” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Satu lagi amalan yang sangat dianjurkan adalah mendirikan solat sunat rawatib iaitu solat sunat Subuh. Solat sunat dua rakaat amat besar pahalanya sejajar pesanan Rasulullah SAW.

Isteri Rasulullah SAW, Siti Aisyah mengatakan, “Tidak ada solat sunat yang diambil berat oleh Rasulullah selain solat sunat sebelum Subuh.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Siti Aisyah juga memberitahu, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Dua rakaat sebelum Subuh lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Hadis itu seharusnya menjadi lonjakan semangat untuk kita memperkayakan azam menegakkan amalan sunah. Mungkin kita tidak dapat merasakan apa-apa ketika hidup di dunia ini, namun yakinlah apa saja amalan kita akan diperlihatkan di akhirat kelak.

Satu lagi amalan sunah yang mungkin dianggap ganjil, namun ada manfaatnya buat diri kita iaitu dianjurkan baring seketika di atas lambung kanan selepas menunaikan solat Subuh.

Siti Aisyah mengatakan: “Apabila Rasulullah SAW selesai menunaikan solat Subuh, sekiranya aku terjaga, Baginda akan bercakap-cakap denganku sambil berbaring di atas lambung kanannya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Demikian beberapa amalan sunah yang sangat perlu kita tegakkan. Jika tidak mampu melaksanakan semuanya, buatlah yang paling agung di sisi Allah SWT iaitu pergi ke masjid bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Memetik sebuah hadis riwayat Imam Muslim dibawa oleh Saidina Uthman bin Affan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang menunaikan solat Isyak berjemaah, ia mendapat ganjaran seolah-olah ia melakukan qiamullail separuh malam. Siapa yang solat Subuh berjemaah, ia mendapat ganjaran seolah-olah melakukan qiamullail sepanjang malam.”

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 12:44 PM