GAMBAR hiasan. FOTO Owee Ah Chun.
Dr Nurkhamimi Zainuddin

Salah satu budaya menuntut ilmu dalam Islam adalah Rihlah yang bermaksud meninggalkan tempat kelahiran untuk menuntut ilmu daripada mereka yang alim dalam bidang masing-masing.

Ramai ilmuwan dan agamawan sanggup mengejar ilmu dengan mengembara jauh meninggalkan tanah air dan kampung halaman mereka. Keberkatan ilmu itu menjadikan penuntutnya dimuliakan masyarakat.

Dalam buku al-Rasul wa Al-‘Ilm (1985), Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menyatakan, salah satu etika penuntut ilmu adalah memastikan diri mereka mampu menghadapi pelbagai kesulitan, melanjutkan keletihan pada siang hari dengan cara bangun pada malam hari dan sabar ketika melakukan rihlah saat menuntut ilmu.

Namun, rihlah dalam menuntut ilmu harus didasari niat ikhlas dan tujuan yang mulia. Ilmu yang dicari harus diyakini ia milik Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: “Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (Surah al-‘Alaq, ayat 3-5)

Dalam kisah Nabi Musa, baginda melakukan rihlah ilmiah untuk belajar daripada seorang hamba Allah bernama Khidir. Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Kahfi bermaksud: Nabi Musa berkata kepadanya: “Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku daripada apa yang diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” (Surah al-Kahfi, ayat 66)

Menyedari kepentingan kisah teladan Nabi Musa itu, Imam Bukhari dalam al-Jami’ Ash-Shahih mencantumkan kisah itu.

Disebutkan ketika Nabi Musa berada dalam kalangan Bani Israil, seorang datang menemuinya dan berkata: “Apakah anda tahu bahawa ada seseorang yang lebih berilmu daripada anda?”

Musa menjawab: “Tidak!” Kemudian Allah SWT berkata kepada Nabi Musa: “Ada, dia adalah hamba kami iaitu Khidir.” Lalu Nabi Musa meminta diberikan jalan untuk menemui Khidir dan ditunjukkan tanda dengan kemunculan seekor ikan lumba-lumba.

Dikatakan kepada Nabi Musa: “Jika ikan itu hilang, maka berhentilah. Maka nescaya kamu akan berjumpa dengan Khidir.”

Nabi Musa mengikuti arah perginya ikan itu hinggalah bertemu Nabi Khidir dan menuntut ilmu daripadanya. Kisah agung itu menjadi sumber dan semangat Rasulullah SAW untuk mengajarkan ilmu kepada sahabatnya. Selepas itu, mereka sebarkan pula ilmu itu kepada tabi’in dan seterusnya hinggalah kepada ulama selepas mereka.

Faktor penting itu menjadikan rihlah ilmiah satu budaya bagi setiap penuntut ilmu. Terdapat satu lagi kisah menceritakan, seorang sahabat Rasulullah SAW rela berpenat diri mencari ilmu mengenai kebenaran kenabian Nabi iaitu Abu Dzar al-Ghifari.

Beliau mengutuskan saudaranya Unais ke Makkah untuk menyiasat dan memastikan Nabi Muhammad benar-benar seorang nabi dan rasul.

Ketika Unais memaklumkan kebenaran berita itu, Abu Dzar berkata: “Ma Syafaitani Fima-Aradhtu” (Apa yang kamu khabarkan belum memuaskan hatiku). Lalu dia sendiri datang mengunjungi Makkah dan mendengar sendiri pertuturan dan dakwaan Rasulullah SAW.

Selepas itu, barulah beliau yakin Baginda seorang nabi dan rasul dan akhirnya memeluk Islam.

Ibn Hajar Al-Asqalani dalam Fath al-Bari menceritakan, Imam Ahmad Ibn Hanbal pernah ditanya: “Yang mana yang lebih baik? Adakah penuntut yang tekun mengikuti seseorang yang memiliki banyak ilmu di kampungnya atau harus pergi meninggalkan daerahnya?”

Maka, Imam Ahmad Ibn Hanbal berkata: “Dia harus rihlah. Ini kerana seorang penuntut itu harus melakukan kembara ilmiah dan mencatatkan ilmu yang didapatinya di kota supaya dapat bertemu ramai ulama dan belajar daripada mereka.”

Imam as-Sakhawi dalam Fath al-Mughits menceritakan, Abdullah Ibn Hanbal bertanya kepada ayahnya: “Bagaimana pendapatmu mengenai seorang penuntut ilmu?

Bolehkah dia berdiam menulis ilmu di daerahnya atau melakukan rihlah?” Beliau menjawab: “Dia harus rihlah ke pelbagai tempat yang ramai ulamanya sehingga dia mampu menulis ilmu daripada ulama Kufah, Basrah, Madinah dan Makkah. Dia juga harus banyak bertemu, menulis dan mendengar ilmu daripada mereka.”

Jelaslah, rihlah dalam menuntut ilmu harus tidak lengkap hanya melalui proses membaca (al-Qiraah), mendengar (as-Sam’u) atau sekadar menulis (al-Kitabah) tanpa bertemu guru dan orang alim (Talaqqi).

Dengan rihlah, banyak pelajaran dapat didengar dan ditulis selain nasihat yang akan menjadi ‘nutrisi’ dan ‘gizi’ hati kita. Dalam sebuah syair, Imam as-Syafi’e menyebut: “Orang yang berakal dan memiliki etika yang baik tidak akan mengenal istirahat, maka tinggalkanlah kampung halaman dan lakukanlah rihlah!”

Penulis Timbalan Pengarah GOAL ITQAN Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 12:34 PM